Dewan Rakyat Hari Pertama: Gobind, Lip Eng Diarah Keluar


KUALA LUMPUR – Hanya beberapa jam sebaik bermulanya hari pertama sidang Dewan Rakyat, dua Ahli Parlimen pembangkang, masing-masing Gobind Singh Deo dan Lim Lip Eng diarah keluar kerana ingkar arahan.

Yang Dipertuan Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengeluarkan arahan tersebut setelah anak mendiang Karpal Singh itu yang juga Ahli Parlimen Puchong bangun dan mempertikaikan keputusan Speaker menolak usul Teresa Kok (DAP-Seputeh) dan Lip Eng (DAP-Segambut).

Gobind ketika ditemui di lobi dewan berkata arahan keluar oleh Pandikar Amin adalah tidak wajar kerana beliau hanya bangun untuk meminta penjelasan mengenai penolakan pembahasan usul tergempar oleh dua rakan, Lip Eng dan Teresa.

“Ini adalah sesuatu yang memalukan, apatah lagi ia berlaku pada hari pertama persidangan.

“Saya hanya bangun dan meminta Speaker memberi penjelasan mengapa dua usul tergempar itu ditolak dan sepatutnya beliau memberi penjelasan dan alasan usul tersebut ditolak,” katanya.

Kekecohan di dalam Dewan bermula apabila Kok bangun dan mempertikaikan keputusan Pandikar Amin menolak usul tergemparnya untuk membahaskan mengenai kehilangan tujuh murid Orang Asli di Gua Musang.

Pertikaian timbul apabila usul tergempar mengenai kenaikan tol yang dikemukakan Lip Eng turut ditolak dengan alasan terdapat usul lain akan dibahaskan, iaitu usul yang dikemukakan Teresa.

“Persoalan timbul apabila pada hari ini kami mendapati kedua-dua usul kami telah ditolak dan tiada usul tergempar akan dibahaskan pada hari ini.

“Saya hanya bangun minta penjelasan dan minta Speaker mempertimbangkannya semula,” katanya.

Terdahulu, sebelum arahan dikeluarkan, Pandikar Amin berkata, penolakan usul itu dibuat kerana ia adalah isu yang ‘tidak perlu disegerakan’.

Katanya, keputusan yang dibuat tidak boleh ditarik balik.

Bagaimanapun, jawapan yang diberikan tidak memuaskan hati Gobind dan Lip Eng yang membawa kepada suasana tegang kira-kira 15 minit.

Tindakan Gobind yang terus bercakap dan tidak mahu duduk walaupun diarahkan berbuat demikian berkali-kali telah menyebabkan Speaker menggunakan Peraturan Mesyuarat 18 Dewan Rakyat dan mengarahkan kedua-duanya keluar. – mStar