Dialek Australia Terlalu Pekat Berpunca Dari Nenek Moyang Pemabuk?


CANBERRA – Seorang pakar pengucapan awam mendakwa dialek orang kulit putih Australia yang agak pelat disebabkan kerana nenek moyang mereka adalah pemabuk, namun, teori ini dikritik keras oleh ramai pakar lain.

Pakar Universiti Victoria, Dean Frankel mendakwa lafaz abjad orang Australia yang kedengaran seperti cadel itu akibat dipengaruhi oleh tabiat kebiasaan nenek moyang mereka pada zaman dahulu amat gemar minuman keras.

Ini kerana sebahagian besar kumpulan perintis warga Inggeris yang pertama kali datang menjejakkan kaki ke Australia lewat dekad 1770-an adalah golongan pemabuk berat selain latar belakang mereka adalah banduan.

Frankel menyatakan, percakapan pelat itu lebih pantas menular berbanding teori dialek akibat wabak selesema dan ia sudah jelas jika nenek moyang sejak dahulu sudah memiliki kebiasaan suka mabuk minuman alkohol.

Menurut beliau, interaksi yang dilakukan dalam keadaan mabuk itu dan berlangsung lama antara peneroka awal secara tidak sedar menambahkan lagi pengaruh percakapan seperti orang mabuk dalam pola nasional di Australia.

“Gaya berbicara seperti itu telah diajarkan golongan perintis secara sedar kepada anak-anak mereka dan alkohol itu bagi warga Australia sama seperti pistol bagi orang Amerika Syarikat (AS) zaman koboi dahulu,” kata Frankel.

Alkohol ujar beliau telah menjadi sebahagian daripada kebudayaan Australia sejak sekian lama dan ia menjadi seumpama warisan tradisi yang penting bagi ‘baka DNA’ penduduk pendatang awal Australia.

Bagaimanapun, pakar linguistik dari Universiti Queensland, Dr. Rob Pensalfini membidas dakwaan tersebut serta menggambarkan teori itu sebagai contoh akibat budaya ‘rendah diri’ dan juga sama sekali tidak benar.


Beliau menjelaskan bahawa teori pelat seperti yang diungkapkan oleh Frankel sering diperlakukan secara universal untuk semua jenis dialek di seluruh dunia dan pada umumnya ia tidak berasas sama sekali.

Pakar bahasa ujar beliau, pernah juga suatu ketika dahulu menyatakan, orang New York terpaksa memiliki suara sengau kerana mereka harus ‘mengalahkan’ suara bingit bunyi bising lalu lintas di bandar raya AS tersebut.

“Sebelum ini, ada juga kata alasan orang Australia cakap pelat dengan bibir tertutup untuk cegah lalat masuk ke mulut mereka. Semua anggapan ini tiada asas dan saya perlu lihat bukti kesimpulan mereka,” kata Pensalfini.

Beliau menyatakan, bahasa baku Inggeris Australia sebahagian besarnya berasal daripada bahasa Inggeris standard jenis Cockney di Britain dan ia juga banyak dipengaruhi oleh gaya dialek bahasa Inggeris Ireland.

“Ada kawasan di Australia dapat pengaruh lain… di kawasan padat penduduk terutama Sydney dan Melbourne, ada warga pendatang, mereka cakap dialek disebut wog speak, atau juga bahasa Inggeris Australia baharu.”

Pensalfini, yang juga seorang aktor dan sutradara menambah, pemabuk pada hakikatnya sering bertutur dengan nada berlebihan berbanding pelat kerana mereka menyedari gangguan bahasa ketika mereka tengah mabuk.

“Itu juga kesimpulan yang klise, tetapi jika saya pernah melatih seorang aktor untuk memainkan peranan orang mabuk, maka saya beritahu mereka untuk sengaja mengatakan apa yang mereka harus katakan,” jelas beliau.

Sementara itu, Frankel juga menyatakan bahawa warga Australia lazimnya hanya menggunakan dua pertiga daripada kapasiti perbendaharaan mereka dan cuma sebahagian daripada ‘struktur pertuturan’ rasmi mereka.

“Abjad orang Australia hanya terdiri daripada 23 huruf sahaja, dengan huruf L merupakan salah satu huruf yang dihilangkan,” tegas beliau merujuk gaya orang Cina pula yang susah sebut huruf R dan digantikan dengan L.

Kebanyakan daripada kita lazimnya mendapati sangat sukar menggunakan huruf L setidak-tidaknya di tengah-tengah perkataan, sebaliknya kita lebih menggunakan huruf W di tengah perkataan itu menggantikan huruf L.

Frankel menyatakan, orang biasa memiliki empat kelompok besar otot artikulasi yang memungkinkan mereka untuk mengembalikan suara vokal menjadi kata-kata tetapi tidak semua orang mampu menggunakannya.

Beliau menjelaskan, orang awam perlu mengadaptasi kosa kata yang lebih luas agar dapat mengekspresikan diri mereka sendiri dan berhenti daripada bergantung kepada alkohol untuk mengutarakan sesuatu perkataan.

“Banyak warga Australia tidak pandai ekspresi diri mereka sendiri kecuali sedikit latah. Mereka cuma harap emosi mereka, lalu baharu guna ketika sudah minum alkohol cukup banyak,” katanya. – Agensi