Beijing - Seorang budak lelaki yang dibesarkan di dalam wad hospital di selatan China menyambut ulang tahun kelahirannya yang kelima minggu lalu bersama kakitangan pusat perubatan itu yang selama ini membantu membesarkannya.
Kanak-kanak dinamakan Junming oleh doktor hospital ditinggalkan di situ ketika baru dilahirkan.
People’s Daily Online melaporkan Junming yang menyambut hari jadinya pada 21 September lalu memanggil semua kakitangan sama ada jururawat atau doktor dengan panggilan ‘ibu.’
Walaupun ibu bapanya masih hidup malah berhubungan dengannya, mereka enggan menjaganya.
Ibunya Bu Yuhong mengalami komplikasi ketika bersalin dan Junming pula tidak bernafas atau mempunyai degupan jantung ketika dilahirkan.
Bagaimanapun, dia mula bernafas selepas doktor memberikan rawatan kecemasan selama lima minit.
Malangnya, ibunya mendakwa Junming menghidap palsi serebrum dan tidak mahu membawa anaknya pulang selain enggan membayar kos rawatannya. - Agensi