KUALA LUMPUR – “Sekiranya esok saya mewarnakannya (rambut) biru atau merah, ataupun mencukurnya terus, itu urusan saya”.
Demikian reaksi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung kritikan yang dilemparkan segelintir pihak ke atas baginda kerana mewarnakan rambut.
Tegas Tunku Ismail, baginda mewarnakan rambutnya untuk tujuan suka-suka dan baginda berhak melakukannya.
“Lagipun bukannya ia akan kekal begini, tak lama lagi hitam semula, jadi saya tak kisah apa kata orang.
“Hanya Tuhan sahaja yang berhak menghakimi saya,” titah baginda seperti dilaporkan laman Facebook Harimau Selatan hari ini.
Sehubungan itu, Tunku Ismail berpesan kepada pihak yang mengkritiknya gara-gara baginda mewarnakan rambut supaya menjaga urusan sendiri.
Baginda turut menegaskan sudah lali dengan pelbagai perkara negatif yang dilemparkan keatasnya dan tidak lagi mempedulikannya.
“Dahulu saya selalu terasa hati apabila orang mengatakan perkara negatif berkenaan saya, tetapi kini saya tidak mempedulikannya.
“Saya doakan agar Allah S.W.T sentiasa merahmati mereka,” titah baginda. -Kedahnews.com