Mungkin tiada siapa yang menyangka dalam mengecapi nikmat hidup sebagai artis dan ahli perniagaan, Fizo Omar sebenarnya terpaksa menelan pahit berhadapan dengan mimpi paling ngeri apabila dibebani hutang RM8 juta.
Apa yang lebih menyakitkan hati, pinjaman itu tidak pernah dilakukan oleh pelakon Isyarat Cinta ini.
Berkongsi kisah dukanya, Fizo mendakwa semua berpunca gara-gara dia terlalu mempercayai rakan kongsinya sehingga tanpa sedar menjadi mangsa penipuan.
“Saya ‘terduduk’ mendengar berita itu. Ibu saya menangis tidak henti manakala saya hampir pitam memikirkan di mana mahu cari duit sebanyak itu untuk membayar hutang kepada pihak bank. Lebih membebankan perasaan, bukan saya yang berhutang, tetapi mereka menipu tandatangan saya.
“Semunya berlaku kerana saya tidak tahu selok-belok perniagaan dan terlalu percayakan rakan kongsi. Perkhabaran itu seperti halilintar membelah bumi hingga saya jadi hilang punca,” ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.
Tambah Fizo, selepas dugaan hutang itu dia kemudian menghadiri seminar dan program motivasi bagi memberi semangat dan meningkatkan ilmu perniagaannya.
Malah, suami kepada jutawan tudung Mawar Abdul Karim mengakui insiden ditipu itu membuatkan dia lebih berhati-hati dan belajar memaafkan kesalahan orang lain.
Difahamkan kes RM8 juta itu kini masih lagi dalam siasatan.
Apapun, kami mendoakan agar Fizo tabah mengharungi ujian dalam hidup mahupun perniagaan,dan yakinlah bahawa doa dari hamba yang dizalimi sangat mustajab di sisi Allah SWT. -Kedahnews.com