ISLAM adalah matlamat yang dituju, bukan alat yang dipergunakan.
Malangnya dalam masyarakat hari ini, banyak keadaan menunjukkan Islam itu tidak lebih daripada alat yang dipergunakan.
Islam kini seakan ‘produk’ yang digunakan untuk mendapat keuntungan peribadi, perniagaan, politik dan lain-lain.
Baru-baru ini, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) menegur perbuatan sesetengah pihak yang nampaknya seakan cuba mengexploitasikan agama.
Menerusi laman Facebooknya, beliau memuat naik gambar poster yang memaparkan tiga individu terkenal yang juga merupakan pendakwah menyediakan servis ‘pakej pahala’ kepada sesiapa yang mempunyai wang.
“Malangnya akan ada pihak yang jika ditegur exploitasi agama yang dilakukan, mereka akan menuduh orang lain sebagai wahabi. ‘Jual beli agama’ yang mereka lakukan itulah kononnya pegangan ulama ASWJ.
Tanyalah mereka apakah imam-imam ASWJ yang mulia seperti Abu Hanifah, Malik, Al-Syafii, Ahmad, al-Thauri, al- Auza’i dan seumpamanya mengambil kesempatan mengaut keuntungan atas nama agama semasa hayat mereka?!!
Bahkan pendapat al-Imam al-Syafii bahawa hadiah bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati. Ini dinukilkan oleh al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim dan Ibn Kathir dalam Tafsir Ibn Kathir ketika menafsirkan Surah al-Najm.
Jika beliau hidup di zaman ini nescaya beliau juga dituduh wahabi oleh golongan Ahbash dan penyokong Syiah yang berbaju sunni yang berkeliaran ketika ini.
Ya, ulama ada berbeza pendapat tentang hadiah bacaan al-Quran kepada si mati, namun apakah mereka menyuruh kita mengaut keuntungan atas nama agama yang seperti ini?!!
Jangan sampai nanti orang menganggap duit boleh beli syurga melalui wakil-wakil Tuhan yang mencetak pahala buat si kaya!!!
Kembalilah kepada ASWJ yang tulen seperti yang diamalkan oleh generasi Salafussoleh,” tulis Dr. Maza. -Kedahnews.com