Azamrudin bergambar bersama kereta lumba prototaip F1 ciptaannya. |
KOTA TINGGI - Azamrudin Shawal yang juga seorang mekanik membina kereta lumba prototaip Formula Satu (F1) berdasarkan sebuah kereta mainan kecil.
Pemuda berusia 34 tahun itu berkata dia membina kereta prototaip itu dengan dibantu adiknya, Mohd Airi tiga tahun lalu untuk menarik perhatian orang ramai terhadap kawasan penempatan mereka di Felda Sening.
Azamrudin dan adiknya hanya mengambil masa selama 56 jam untuk memasang mesin menggunakan alat-alat ganti dari kereta lama dan besi buruk di bengkel kereta milik bapa mereka dengan kos sekitar RM2,200.
Namun, usaha mereka tidak diberikan pengiktirafan yang sewajarnya walaupun bertungkus-lumus menonjolkan ciptaan mereka kepada pemimpin tempatan sejak 2012.
Kereta lumba sepanjang dua meter itu digunakan dalam beberapa perarakan dan acara khas di felda tersebut termasuk majlis perkahwinan.
"Apa yang saya mahu adalah membantu masyarakat di sini dikenali dan mungkin mendapat sedikit dana untuk menjalankan aktiviti buat generasi muda.
"Saya sentiasa berfikir mengenai cara bagaimana seorang pemuda dari pekan kecil boleh mendapat pengiktirafan kerajaan dan memutuskan untuk membina kereta prototaoip ini," katanya kepada The Star ketika ditemui di Felda Sening di sini.
Azamrudin turut menyenaraikan beberapa rancangan untuk membangunkan taman rekreasi yang dilengkapi chalet dan kawasan pertanian bagi membantu masyarakat di kawasan tersebut.
"Kawasan felda ini mempunyai potensi untuk berkembang terutamanya dalam sektor agro-pelancongan yang boleh menarik lebih ramai pelancong dan meningkatkan ekonomi di sini selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
"Malangnya, kami telah dipinggirkan dan keupayaan kami tidak dipandang.
"Adalah menjadi harapan saya dengan membina kereta lumba ini, ia akan membuka mata individu berkuasa dan memberikan generasi kedua di sini peluang untuk membuktikan keupayaan diri," katanya.
Azamrudin menyatakan kekecewaannya walaupun dia berusaha untuk mempromosikan ciptaannya itu kepada pemimpin tempatan, tiada di kalangan mereka yang berminat untuk mengetengahkan ia ke peringkat seterusnya.
"Saya juga berharap diberikan peluang bekerjasama dengan syarikat petroleum seperti Shell dan Petronas untuk mengklon ciptaan saya," katanya.
Sebuah rakaman video kereta lumba prototaip yang disiarkan di laman Facebook Media Kota menjadi viral dan ditonton sebanyak 100,000 kali.
Sumber: mStar