Duta China Perlu Buat Penjelasan Rasmi Jika Kenyataan Disalah Tafsir

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
PUTRAJAYA – Duta Besar China di Malaysia, Dr. Huang Huikang diminta membuat penjelasan rasmi jika kenyataannya yang dikeluarkan ketika melawat Jalan Petaling baru-baru ini telah disalah tafsir.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan berkata, ia merupakan keputusan sebulat suara yang dicapai dalam mesyuarat Kabinet dipengerusikannya di sini pada Rabu.

Beliau menegaskan tindakan Wisma Putra memanggil duta itu merupakan amalan biasa mengikut saluran diplomatik, bertujuan meminta penjelasan Huikang mengenai kenyataannya ketika melawat Jalan Petaling tempoh hari.

“Wisma Putra cuma ingin meminta beliau mengesahkan sama ada kenyataannya itu telah disalah tafsir atau sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Pendaftaran Negara di sini Khamis.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata jika Huikang telah mengeluarkan kenyataan di Jalan Petaling seperti dilaporkan, maka Wisma Putra akan menasihati supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman politik negara.

Katanya, ia termaktub dalam Artikel 41, Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

“Jika Duta Besar China menyatakan kenyataan beliau disalah tafsir, Wisma Putra akan meminta beliau untuk mengeluarkan kenyataan berhubung perkara sebenar berlaku,” kata Ahmad Zahid.

“Walaupun duta China telah mengeluarkan beberapa kenyataan di surat khabar berbahasa Mandarin, tetapi pendirian jemaah menteri dan Wisma Putra supaya kenyataan rasmi perlu dikeluarkan oleh duta China itu supaya persepsi lawatan itu dapat diperbetulkan,” katanya.

Wisma Putra sebelum ini dilaporkan memanggil Huikang untuk meminta penjelasan daripada beliau tentang kenyataan yang dibuat semasa lawatan beliau ke Jalan Petaling.

Pada Isnin lalu, Dr Huang mengadakan pertemuan dengan Pemangku Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap semua pihak menghentikan polemik mengenainya dan tidak terperangkap dengan kenyataan yang diputar belit beberapa pemimpin parti pembangkang dalam media sosial mereka.

Ahmad Zahid berkata Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan China, termasuk beberapa perjanjian bilateral dan persefahaman serta menghargai sumbangan negara China kepada Malaysia.

“Dr. Huang juga merupakan seorang daripada Duta Besar China yang terbaik pernah dihantar berkhidmat di Malaysia. Saya menghargai sumbangan beliau bagi mengeratkan hubungan baik antara Malaysia-China,” katanya. – BERNAMA