Sukan ekstrim yang lasak bukan penghalang bagi seorang gadis kecil yang sopan bertudung menceburkan diri bersama rakan-rakan menggempur pasukan lawan dalam "perang" paintball di peringkat antarabangsa.
Berjinak-jinak dengan dunia sukan yang memerlukan stamina fizikal dan strategi serta mental yang kuat, Tengku Mahirah Tengku Ismail yang kini berusia 23 tahun, telah mula memegang "marker" sejak usianya mencecah 14 tahun lagi.
Menghitung pengalamannya yang pernah mewakili pasukan Asia di satu kejohanan antarabangsa di Moscow, Rusia pada tahun 2012, dia kini merupakan salah seorang anggota pasukan "Sakai" yang berharga.
Menurut Mahirah, pasukan Sakai yang turut bertanding di Kejohanan Paintball World Cup 2015 di Langkawi kali ini diketuai oleh bapa saudaranya, Azlan Sofian Abu Bakar, bersama 10 anggota yang lain.
Menggunakan marker LV1 model EGO dari jenama Eclipse sebagai senjata untuk "mematikan" musuh di gelanggang paintball, Mahirah dilihat begitu arif tentang peralatan sukan yang digeruni itu.
"Ini marker, ini loader, dan ini pula tank," perkenal Mahirah tentang peralatan asas sukan paintball sambil terus memperkenalkan peralatan lain yang perlu bagi mereka yang berminat untuk menceburi sukan tersebut.
Kata Mahirah, sama ada menembak "mati" atau ditembak di tubuh adalah menjadi satu kebiasaan bagi para pemain sukan paintball yang mungkin mengakibatkan lebam atau merah-merah di tempat yang ditembak.
"Saya pernah kena tembak di leher... berdarah. Tapi biasalah, sebab saya tak pakai penutup yang cukup waktu tu," kata Mahirah berceloteh.
Menurut graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka itu, mungkin kerana perasaan takut ditembak maka ramai yang enggan mencuba sukan yang mencabar itu sedangkan ia amat memberikan kepuasan bagi mereka yang pernah mencubanya.
Jelas Mahirah, mereka yang berminat untuk memiliki set marker selalunya memerlukan anggaran kos di antara RM7,000 hingga RM10,000.
"Tapi kalau beli yang second hand, mungkin boleh dapat dengan harga yang lebih murah," jelasnya yang sudah lima kali bertukar marker yang baru.
Kata Mahirah lagi, mungkin ada persepsi yang mengatakan bahawa sukan paintball memerlukan kos yang tinggi, namun padanya ia adalah terpulang pada minat masing-masing di mana mereka yang benar-benar minat pada perkara lain turut membelanjakan kos yang tinggi bagi sesuatu yang mereka suka.
"Itu terpulanglah pada diri masing-masing.
"Tapi kalau berminat, awalnya boleh cuba di pusat-pusat paintball dan tidak perlu beli marker atau peralatan yang lain. Di situ semua lengkap untuk disewa. Lepas benar-benar minat dan mampu, barulah beli satu persatu," katanya yang kini bekerjaya di sebuah syarikat swasta itu.
Jelas Mahirah, dia dan Sakai sudah tentu meletakkan harapan dan semangat yang tinggi untuk menjuarai kejohanan PWC2015 kali ini, namun dia juga akur dengan kehebatan pasukan-pasukan terbaik yang turut bertanding di kejohanan tersebut. -Kedahnews.com