Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad |
PETALING JAYA – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terhadap pertuduhan menganjurkan perhimpunan Blackout 505 tanpa kebenaran, dua tahun lalu.
Bagaimanapun, hanya pertuduhan dibacakan. Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Azwarnida Apandi.
Ini berikutan peguam Shah Redzan Johan berhujah dengan mengemukakan beberapa fakta mengenai anak guamnya itu sebelum pengakuan direkodkan oleh mahkamah.
Hakim Azwarnida mengarahkan peguam memfailkan permohonan bantahan terhadap pertuduhan yang dihadapi anak guamnya itu.
Pertuduhan yang dikemukakan terhadap Nik Nazmi, 33, hari ini merupakan kali ketiga dia didakwa terhadap pertuduhan sama.
Nik Nazmi, yang merupakan anggota exco Selangor dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) didakwa kali pertama pada 17 Mei 2013. Nik Nazmi kemudian membuat permohonan untuk mengetepikan pertuduhan tersebut namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Nov 2013.
Bagaimanapun pada 25 April tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Nik Nazmi untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya sekali gus keputusan di Mahkamah Tinggi Shah Alam diketepikan.
Pada 6 Feb 2014, Nik Nazmi didakwa kali kedua terhadap pertuduhan sama.
Bagaimanapun pada 6 Mei 2014, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan Nik Nazmi daripada pertuduhan itu selepas hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.
Hakim tersebut juga mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Nik Nazmi untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya pada 25 April tahun lalu.
Nik Nazmi, didakwa gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum penganjuran program ‘Blackout 505’ di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini, pada 8.30 malam, 8 Mei 2013.
Nik Nazmi yang merupakan orang kena saman dalam kes itu didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan wang jaminan terhadap Nik Nazmi RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Okt ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin. – BERNAMA