Gambar Hiasan |
ALOR SETAR - Operasi feri dari Terminal Feri Kuala Kedah ke Langkawi tetap diteruskan dan tidak terjejas walaupun keadaan jerebu yang melanda Langkawi sejak Ahad lepas. Penyelia Operasi Ferry Line Venture Sdn Bhd Kuala Kedah, Ahmad Azizan Aziz berkata pihaknya masih tetap meneruskan 10 perjalanan sehari dari Kuala Kedah ke Langkawi.
"Tiada perjalanan feri yang dibatalkan sejak Ahad lepas, dan operasi berjalan seperti biasa," katanya ketika dihubungi Bernama.
Jumlah jualan tiket juga katanya, tidak banyak terjejas dengan hanya 10 peratus penurunan berbanding kebiasaan, dan menjangkakan keadaan akan kembali seperti biasa menjelang minggu hadapan.
Setakat jam 3 petang ini, Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bacaan 76 di Langkawi iaitu tahap sederhana selepas kawasan itu mengalami keadaan udara tidak sihat sejak Ahad lepas sehingga semua sekolah di sana ditutup sehingga hari ini. - Bernama