Fitnah Raja Muda Selangor, Rahim Thamby Chik Didakwa Di Mahkamah

ABDUL Rahim Thamby Chik (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan memfitnah Raja Muda Selangor. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
SHAH ALAM – Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memfitnah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, 25 September lalu.

Abdul Rahim, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Slamat Yahya selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahim didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (C) Akta Hasutan 1948.

Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu juga tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hakim Slamat Yahya menetapkan jaminan RM7,000 dan 5 November depan sebagai tarikh sebutan pula.

Abdul Rahim pada 25 September lalu mengeluarkan kenyataan menerusi laman Facebooknya yang memberi komen berhubung pertukaran agama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Pada 30 September lalu, Dewan Diraja Selangor itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan serta menyifatkan kenyataan dibuat Abdul Rahim sebagai pembohongan dan fitnah semata-mata selain berbaur hasutan dan mempunyai unsur fitnah yang boleh membangkitkan perasaan benci umat Islam kepada Raja Muda dan Sultan Selangor. – myMetro