PENYANYI Fynn Jamal menjelaskan cara nyanyiannya menerusi lagu Suatu Pernah yang dikatakan seperti orang meraung itu adalah berkonsepkan genre theatrical yang masih baru bagi peminat muzik negara ini.
Fynn atau nama sebenarnya Nur Affina Yanti Jamalludin, 32, berkata, genre tersebut sudah popular di negara-negara Barat, namun mengambil masa untuk diterima pendengar muzik Malaysia.
"Semua lagu ciptaan saya adalah puisi dan apa yang saya sampaikan bukanlah dalam bentuk nyanyian sebaliknya lebih kepada puisi berlagu.
"Genre lagu tersebut ialah theatrical iaitu saya bercerita tentang sesuatu perkara diiringi lagu, namun saya akui ia masih baru dan perlukan masa untuk diterima oleh peminat muzik Malaysia," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Fynn berkata demikian ketika diminta mengulas apabila pelakon Karl Shafek mempersoalkan cara nyanyiannya menerusi lagu Suatu Pernah sama ada ia orang bercakap, menyanyi atau meraung.
Karl pada Isnin memuat naik status di laman sosial Facebook tentang cara nyanyian Fynn Jamal.
Jelas Fynn, sebagai pemuzik dia tidak boleh memaksa pendengar untuk menyukai karya-karya ciptaannya, namun dia yakin genre yang dipopularkan itu mempunyai peminat tersendiri.
"Boleh diumpamakan kalau kita nak makan dalam menu ada macam-macam jenis makanan, begitu juga muzik.
"Bagaimanapun, saya tidak boleh paksa mereka untuk suka muzik yang saya bawa, tapi saya percaya genre itu ada peminat tersendiri yang mahu mendengarnya," ujarnya.
Sementara itu, Fynn berkata, dia menerima kritikan yang diberikan pelakon tersebut dan orang ramai selain menganggap ia hanya perkara biasa dalam industri muzik.
"Terima kasih kepada Karl kerana bertanya tentang itu, saya terima sahaja dan menganggap isu tersebut perkara kecil," ujarnya.
Dalam pada itu, bercerita tentang lagu Suatu Pernah, Fynn berkata, karya tersebut berkisarkan tentang golongan remaja yang pernah melalui pengalaman pahit dalam hidup mereka.
Katanya, penggambaran klip video lagu itu akan dilakukan pada minggu hadapan dengan mendapat khidmat pengarah pelakon muda Sharifah Amani.
"Semua orang pernah mengalami pengalaman pahit dalam hidup mereka dan ada yang pernah tiada keyakinan diri dan menganggap ia sebagai satu kelemahan.
"Klip video itu akan mula penggambaran pada minggu depan dan diarahkan oleh Sharifah Amani. Ia merupakan filem pendek tentang kekuatan wanita yang dilakonkan Sharifah Amani, penari Suhailin dan saya sendiri," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Fynn berkata dia baharu sahaja keluar dengan single terbaharu berjudul Levitasi bersama Kaka Azraff dan Zizi Kirana.
Selain itu, dia juga bakal muncul dalam konsert kemuncak jelajah bersama Datuk M.Nasir pada 7 November depan di Stadium Malawati di Shah Alam.
Fynn Jamal sebelum ini popular dengan lagu Arjuna Beta.
Sumber: mStar