Gaji Minimum Naik RM1,000, Majikan Persoal Produktiviti Pekerja


ALOR SETAR – Pihak majikan mempersoal tentang produktiviti para pekerja yang menerima kenaikan gaji minimum hingga ke paras RM1,000 yang diumumkan dalam Bajet 2016 yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Pada mereka, kenaikan gaji minimum dari RM900 ke RM1,000 itu disifatkan sebagai satu pukulan hebat kepada majikan di seluruh negara apabila terpaksa meningkatkan kos syarikat sebanyak 11 peratus.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kenaikan gaji minimum tersebut tidak selaras dengan peningkatan produktiviti yang oleh tenaga buruh.

“Ia satu tamparan kepada majikan sektor swasta kerana ia akan memberi beban peningkatan kos sebanyak 11 peratus di sekitar Semenanjung dan 15 peratus di Sabah dan Sarawak.

 "Peratusan peningkatan itu amat tinggi jika dibandingkan dengan peningkatan produktiviti yang hanya  tujuh peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia dalam reaksi berkenaan gaji minimum baharu yang diumumkan yakin ia dapat membantu pekerja swasta menampung kos sara hidup di negara ini.

Menteri Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dilaporkan berkata bahawa pengumuman kadar gaji baru dalam Bajet 2016 juga sebenarnya tidak membebankan majikan dan industri yang sering mencatat keuntungan pada setiap tahun.

Mengulas lanjut, Shamsuddin  turut mendakwa bahawa kenaikan paras gaji minimum akan membantutkan hasrat pelabur asing untuk melabur di negara ini.

 “Peningkatan kos sepatutnya tidak melebihi peningkatan produktiviti, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Ini sudah pasti membimbangkan pelabur dan mungkin membantutkan hasrat pelabur yang ingin melabur di Malaysia,” katanya lagi.

Bajet 2016 menyatakan gaji minimum pekerja swasta di Semenanjung Malaysia dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000 manakala untuk Sabah, Sarawak dan Labuan, ia naik kepada RM920 daripada RM800, bagi semua sektor kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah. -Kedahnews.com