Gesa Bina Tembok Lebih Tinggi, Pantau Pegawai Penguatkuasa Di Sempadan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memantau keadaan pagar dan tembok di sempadan Malaysia - Thailand -Gambar Hiasan
Kuala Lumpur - Kerajaan disaran membina tembok tinggi di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand yang dikenalpasti menjadi lokasi aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia, khususnya di perairan Sungai Kuala Perlis sehingga ke Sungai Golok, Kelantan.

Presiden Transparency International-Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata langkah itu perlu sebagai tindakan drastik bagi menangani aktiviti seperti menyeludup dadah dan senjata selain pemerdagangan manusia daripada terus memasuki negara ini melalui perairan serta lorong tikus.

"Selain itu, pegawai agensi penguatkuasaan yang bertugas di kawasan panas di sempadan seperti Wang Kelian, Padang Besar dan Sungai Golok perlu dipantau kerana ada dakwaan kes rasuah dilaporkan berlaku hingga membolehkan penyeludupan memasuki negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Kelestarian Integriti anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bersama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini, semalam. - BERNAMA