Hampir 1,000 Peluk Islam Di Singapura Setiap Tahun


SINGAPURA – Bagi yang pernah ke Singapura, mungkin ada mendengar sebuah kumpulan tempatan disebut Gerakan Melayu Murtad Singapura atau lebih dikenali sebagai Malays Christianity Association (MCA).

Organisasi ‘bawah tanah’ itu khabarnya turut aktif di Malaysia menyebarkan dakyah mereka bagi menarik umat Islam khasnya golongan remaja Melayu berfahaman liberal keluar daripada Islam yang dianuti sejak lahir.

Bagi mengaburi mata masyarakat, kelompok ini dikatakan masih mengekalkan nama asal mereka dan bagi wanita, mereka tetap memakai tudung tetapi pada masa sama berdakwah mengajak masyarakat Islam untuk murtad.

Mungkin ada meragui perkara itu, namun di Singapura isu ini bukan rahsia sehingga menyaksikan pemerintah republik tersebut terpaksa membahagikan kaum Melayu kepada dua kelompok sama ada Islam atau bukan Islam.

Menyedari kebimbangan umat Islam di negara pulau berkenaan sejak 1970-an lagi, pihak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mewujudkan satu lagi MCA iaitu Muslim Converts Assosciation of Singapore pada 1980.

Organisasi dakwah tersebut pernah menumpang sewa di beberapa buah pejabat sebelum kemudian membeli sebuah bekas pawagam dan pasar raya lama untuk dijadikan kompleks ibu pejabat tetap pertubuhan itu.

Waktu itu seorang mufti Singapura menggelarkan MCAS sebagai Darul Arqam yang merujuk individu pertama memeluk Islam di kota Makkah pada zaman awal Rasulullah SAW, malah menjadikan rumahnya pusat dakwah.

Hari ini MCAS juga sinonim dikenali sebagai Darul Arqam oleh rakyat Singapura (Nota: Jangan salah faham dengan kumpulan ajaran sesat Al-Arqam yang diharamkan oleh pihak kerajaan Malaysia suatu ketika dahulu).

Pada 10 Oktober lalu, Darul Arqam mengadakan majlis rumah terbuka dan ia turut melancarkan aplikasi khas secara talian, yang juga dikenali sebagai ‘Islam4All‘ sempena menyambut ulang tahun penubuhanya yang ke-35.

Aplikasi bermaksud ‘Islam untuk semua’ itu mengandungi segala rakaman video ceramah yang pernah dianjurkan Darul Arqam sejak 1990 hingga tahun ini, serta boleh dimuat turun melalui telefon pintar Apple dan gajet Android.

Selain itu, sebagai menyambut ulang tahunnya, Darul Arqam mengadakan pameran yang menyingkap pencapaian saintifik serta aspek kebudayaan tamadun Islam terkenal dari seluruh dunia dan ia terbuka kepada semua pelawat.

Tujuannya adalah untuk mengajak orang ramai, tidak kira bangsa dan agama, agar lebih mengenali keindahan ajaran Islam yang mungkin tidak diketahui, kata Naib Presiden Ehwal Korporat Darul Arqam, Abdul Jalil Tahir.

Pihaknya malah berusaha menyebarkan kesedaran mengenai Islam sebagai agama untuk semua kaum sejak penubuhan pusat itu menerusi pelbagai program selain menyebarkan maklumat betul mengenai agama Islam.

Menurut persatuan tersebut yang dipetik oleh stesen tempatan milik pemerintah, Channel NewsAsia, jumlah pengunjung yang mahu mempelajari dan memeluk agama Islam di pusat MCAS itu meningkat sejak ditubuhkan.

Secara purata, sepanjang dekad 1980-an, jumlah mualaf atau saudara baharu adalah kira-kira 400 orang setahun sebelum bertambah pada 1990-an sekitar 500 orang setahun dan setelah 2000-an, ia cecah 600 orang setahun.

Kini bilangan penganut bukan Muslim yang dicatatkan memeluk Islam di Darul Arqam adalah purata lebih 700 orang setahun sejak 2010 dan ia dijangka boleh menghampiri 1,000 orang setahun menjelang 2020 kelak.

Jika trend positif ini berterusan, sekali gus menjadikan Islam sebagai agama yang paling pesat berkembang pantas di Singapura dan ia bakal mengatasi Kristian untuk menjadi agama kedua terbesar dianuti selepas Buddha.

Untuk rekod, setakat ini ada 71 buah masjid di seluruh Singapura dan ia kian bertambah sehingga penuh sesak setiap kali ada aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat berbanding 216 buah gereja tetapi kurang sambutan. – Agensi