Hasil Kutipan GST Diumum Pada Bajet 2016 - Timbalan Menteri Kewangan

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong.
KUALA LUMPUR – Hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) setakat ini akan diumum semasa pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

Beliau berkata berdasarkan Bajet 2015, kerajaan menganggarkan kutipan GST untuk 2015, bermula daripada pelaksanaannya pada April lalu, berjumlah RM23.2 bilion.

“Pelbagai barang dan perkhidmatan telah dikecualikan atau dikenakan GST pada kadar sifar yang keseluruhannya dianggarkan sebanyak RM3.8 bilion,” katanya ketika menjawab soalan Loke Siew Fook (PKR-Seremban) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Katanya pelbagai pakej bantuan diberikan kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia yang berjumlah RM4.9 bilion serta pengurangan kadar cukai individu dan syarikat, masing-masing sebanyak satu mata peratusan.

Menjawab soalan tambahan Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Chua berkata bagi tempoh April sehingga kini, kerajaan telah membayar balik tuntutan cukai input GST sebanyak TM4.5 bilion kepada entiti perniagaan.

Katanya kumlah tuntutan cukai input yang difailkan oleh syarikat-syarikat perniagaan dalam tempoh 14 hari bekerja telah meningkat setiap bulan dan mencecah 41 peratus.

“Pada masa sekarang, terdapat juga yang salah mengisi borang. (Namun begitu) Kerajaan juga tidak mengenakan kompaun kerana buat masa ini kita di peringkat untuk memberi bimbingan,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan kerajaan tidak mempunyai wang untuk membayar balik tuntutan yang dibuat oleh syarikat-syarikat terbabit. – BERNAMA