WALAUPUN peristiwa hijrah Baginda Rasulullah SAW sudah lama berlalu, namun tetap menjadi satu momen sejarah yang kita sentiasa kenang dan pelajarinya untuk memastikan kita sentiasa mengingati diri untuk bersedia berubah dan berhijrah dalam memacu kecemerlangan.
Misalnya, dalam memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara untuk menjadi pemimpin ilmu yang disegani, dihormati, berwibawa dan mampu pula melakukan transformasi dan perubahan dalam masyarakat, negara dan dunia. Apatah lagi dalam bidang lain yang seharusnya dilakukan bersama-sama, tidak disabotaj dan melihat setiap usaha hanya dalam konteks yang cetek dan singkat.
Hakikatnya, peristiwa hijrah Baginda Rasulullah SAW tidak berlaku begitu sahaja. Penghijrahan itu dilakukan dengan penuh hati-hati, berstrategi jangka panjang, bijak dalam hitungan sahsiahnya dan mengambil kira keperluan pembangunan umat Islam dan ummah seluruhnya dalam jangka panjang. Fokusnya, untuk masa hadapan bukannya untuk kejayaan semasa sahaja.
Hijrah Baginda Rasulullah SAW bukan berlaku secara sendirian, tetapi berlaku dalam kumpulan yang melibatkan para sahabat dan pengikut setia yang percaya pada visi dan misi yang sama. Percaya kepada iman dan takwa yang berlandaskan kepada keredaan Allah SWT untuk kemaslahatan ummah dan daulah Islamiyyah dan dibuat dengan niat yang betul dan ikhlas, berpaksikan amanah dan tanggungjawab dengan mengambil kira semua keperluan untuk kejayaan.
Inilah yang harus kita terap dan sentiasa rasai dalam menegakkan dan meneruskan perjuangan untuk pembangunan roh ilmu dan pendidikan tinggi mahu pun proses pembangunan masa hadapan negara lainnya. Yang kita lakukan hari ini seharusnya berorientasikan masa hadapan dalam mengubah pemikiran dan melakukan transformasi untuk berdikari dan berdaya saing melalui sikap baik sangka, bersatu padu dan bekerjasama.
Usaha ini perlu dilakukan secara bersama-sama, melibatkan seluruh warga, berfokus, berstrategi, menetapkan matlamat keberhasilan utama, melihat kepada keperluan kejayaan segera atau quick wins dan sentiasa mempunyai ruang untuk pemantauan dan penilaian semula.
Setiap orang ada peranannya, meninjau setiap langkah perjalanan, menjalin sikap muhibah dan perpaduan, memastikan penerimaan dalam budaya baharu dan kesediaan untuk berkorban demi masa hadapan, dalam konteks pendidikan tinggi tentu sahaja pelajarnya atau pemegang-pemegang taruh dalam apa jua institusi lainnya.
Inilah yang kita pelajari dalam sejarah pembangunan ummah selama ini. Sejarah yang sepatutnya menjadikan sumber kekuatan untuk melonjakkan kejayaan masyarakat dan negara pemikiran yang betul. Sikap untuk bekerjasama dan memahami hala tuju ke mana kita dan kesediaan untuk memastikan bahawa penerimaan semua pihak terhadap usaha yang kita lakukan pada masa ini akan mempengaruhi kejayaan pada masa hadapan.
Misalnya, untuk mencapai kejayaan masa hadapan dalam pendidikan tinggi, negara kita melalui Kementerian Pendidikan Tinggi melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia - Pendidikan Tinggi yang berfokus kepada lonjakan-lonjakan untuk mencapai kelestarian pendidikan tinggi masa hadapan melalui kesohoran global mahu pun pendidikan sepanjang hayat, meningkatkan kecekapan dan penguasaan ilmu kemahiran dan pelbagai lagi yang perlu disokong dan dijayakan bersama-sama dalam satu semangat untuk masa hadapan negara.
Dalam erti kata lain, warga pendidikan tinggi misalnya perlu bersama-sama sebagai satu pasukan untuk menjayakan usaha soaring upwards yang dijadikan tema kekuatan kerana pada akhirnya kita perlu yakin untuk terus ke depan dengan kepakaran dan kekuatan ilmu pengetahuan yang ada agar dapat berdiri sama tinggi dengan orang lain.
Setiap pihak perlu menterjemahkan usaha ini, misalnya di Universiti Sains Malaysia (USM), usaha dibuat kini berpaksikan kepada tiga objektif strategik jangka panjang iaitu membangunkan bakat yang relevan dan berdaya saing global sesuai dengan keperluan negara dan antarabangsa, meningkatkan ekosistem penyelidikan untuk menyokong pembangunan dan pencapaian kesohoran antarabangsa serta meningkatkan kecemerlangan institusi berasaskan prinsip etika, kewangan dan persekitaran yang lestari.
Semua pihak perlu bersama-sama menjayakannya dengan menterjemahkan dalam bentuk tindakan yang bersesuaian.
Dalam hal ini juga, tidak harus berlaku pengecualian dalam penglibatan seluruh warga universiti. Baik warga akademik, pentadbiran, sokongan apatah lagi para pelajarnya perlu menghayati jiwa dan nada yang sama, terlibat dalam perancangan, pelaksanaan apatah lagi pemantauan dan memastikan semua yang dirancang dalam keseluruhan keberhasilan utama mencapai kenyataan.
Kerana itu, amat tepat sekali usaha menjadikan perpaduan sebagai nadi transformasi negara dalam konteks pendidikan tinggi seharusnya menjadi nadi transformasi universiti yang dilakukan dengan penuh berstrategi dan berfokus demi kelestarian hari esok menggunakan nilai-nilai yang dibangunkan bersama dan tidak melupakan usaha memacu kecemerlangan sekali gus merealisasikan hasrat kami memimpin dalam semangat Maal Hijrah demi faedah masyarakat dan negara.
Mengambil semangat perjuangan Rasulullah SAW, usaha transformasi ini perlu dilakukan bersama-sama, berstrategi, berfokus dan melihat kepentingan masa hadapan. Tentunya, seperti mana yang diajar oleh sejarah penghijrahan Rasulullah SAW perlu dilakukan dalam konteks penuh keikhlasan, kerana Allah SWT, demi kedaulatan negara yang kita cintai dan masa hadapan ummah yang cemerlang dan bermaruah.
*PROFESOR DATUK DR. OMAR OSMAN ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia/Utusan