Gambar Hiasan |
Samosir, Indonesia - Selepas sebuah pesawat hilang di Sulawesi sebelum ini, sebuah helikopter yang membawa lima penumpang pula dilaporkan hilang selepas berlepas dari Siparhaman menuju ke lapangan terbang Kualanamu di Sumatera Utara kelmarin.
Difahamkan bahawa helikopter jenis EC 130 milik syarikat Penerbangan Angkasa Semesta itu dilaporkan telah hilang jam 11.50 pagi (waktu tempatan).
Jurucakap polis Samosir, Eko Suprihanto mengesahkan helikopter itu terputus hubungan tiga minit sebelum dijadualkan mendarat di Kualanamu .
“Helikopter ini hilang, tetapi kami masih belum dapat sahkan pesawat itu terhempas atau mendarat di tempat lain,” katanya yang dipetik dari agensi tempatan.
Menurutnya, helikopter itu dikendalikan seorang juruterbang, seorang pembantu dan tiga penumpang.
Sementara itu, pihak media turut melaporkan bahawa helikopter itu disewa oleh seorang ahli perniagaan dari Jakarta, Marihad Simbolon yang mahu pulang ke kampung halamannya di sini.
Helikopter itu mendarat di kediaman Marihad di Siparmahan pada jam 10.30 pagi (waktu tempatan).
Selepas menurunkan Marihad dan keluarganya, helikopter itu berlepas semula pada jam 11.30 pagi dan dijangka tiba di Kualanamu, 45 minit selepas itu. - Kedahnews.com