Ibu Bapa 6 Murid Orang Asli Yakin Anak Masih Hidup

IBU bapa kepada enam lagi murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang dilaporkan hilang sejak lebih sebulan lalu yakin bahawa anak mereka masih hidup dan akan dapat ditemui oleh pasukan penyelamat.
GUA MUSANG – Ibu bapa kepada enam lagi murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang dilaporkan hilang sejak lebih sebulan lalu yakin bahawa anak mereka masih hidup dan akan dapat ditemui oleh pasukan penyelamat.

Seorang daripada ibu murid hilang, Midah Angah, 38, berkata, walaupun mayat Sasa Sobri telah dijumpai, dia percaya kedua-dua anaknya iaitu Norieen Yaakob, 10, dan Haikal Yaakob, 8, masih hidup.

“Saya sudah letih dan habis tenaga menunggu berita, dan saya berharap berita baik yang saya terima. Saya turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Sasa Sobri dan berharap ahli keluarga mangsa tabah menerima dugaan.

“Saya tahu perasaan yang dialami Sobri Latif kerana saya juga kehilangan anak. Bukan seorang tapi dua,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat di Hospital Gua Musang, hari ini.

Difahamkan, selepas insiden kehilangan dua anaknya, Midah Angah dikatakan tidak membenarkan 2 lagi anaknya untuk kembali bersekolah akibat trauma kehilangan tersebut.

Sementara itu, seorang lagi bapa murid, Ayel Ajik, 32, menyatakan keyakinan bahawa anaknya, Ika, 9, masih hidup walaupun sudah memakan masa 47 hari sejak kehilangannya.

“Sukar hendak gambarkan namun saya yakin Ika masih hidup. Walaupun mayat Sasa sudah ditemui, namun pihak polis belum mengesahkan betul atau tidak.

“Saya yakin pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus mencari anak-anak yang hilang dan diharap dapat ditemui dalam masa terdekat,” katanya kepada The Rakyat Post.


Pada 23 Ogos lalu, seramai tujuh murid Orang Asli termasuk enam perempuan dan seorang lelaki dari SK Tohoi di sini dilaporkan hilang dari asrama sekolah mereka di Pos Tohoi, Gua Musang.

Mereka dipercayai hilang selepas melarikan diri dari sekolah kerana takut dikenakan tindakan guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh mangsa yang hilang ini dikenali pasti sebagai ialah Mirsudiar Aluj, 11; Norieen, 10; Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina Daud, 7.

Semalam, mayat kanak-kanak perempuan berusia antara tujuh hingga sembilan tahun itu ditemui di Sungai Perias kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi pada jam 7 malam tadi oleh penduduk kampung.

Menurut siasatan awal, pihak polis mendapati mayat kanak-kanak tersebut ialah Sasa Sobrie yang berusia 8 tahun. -Kedahnews.com

Sumber asal: The Rakyat Post