Zainol Hamid, 71, menujukkan tempat beliau menemui bayi perempuan yang masih bertali pusat. - STR/ Nur Syazwana Mansor |
YAN – Polis semalam menahan seorang wanita berusia 38 tahun, susulan penemuan bayi yang baru lahir dalam mesin basuh di sebuah rumah di Kampung Ulu Dulang Kechil di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim, berkata wanita itu ditahan jam 12 tengah hari tadi sebelum siasatan lanjut mendapati suspek melahirkan bayi seberat 2.86 kilogram itu secara rahsia di dalam bilik air rumahnya dan meletakkan bayi itu dalam mesin basuh.
Kelmarin, seorang warga tua Zainol Hamid, 71, dilapor terkejut menemui bayi perempuan yang baru berusia satu hari dalam mesin basuh di rumahnya, selepas terdengar tangisan sewaktu ke tandas sebelum melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Bayi itu yang ditemui dalam keadaan sempurna dan sihat, kemudian dibawa ke Hospital Yan dengan ambulans sebelum kes dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar. – BHarian