Gambar Hiasan |
KECEWA tidak mampu memberikan susu badan kepada anaknya, seorang wanita bertindak drastik dengan terjun dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Bangsar South.
Wanita terbabit yang baru sahaja 10 hari melahirkan anak dikatakan amat tertekan dengan keadaan tersebut sehingga memaksa dirinya mengambil jalan mudah.
Memetik laporan The Star Online, wanita yang dipercayai seorang akauntan berusia 30 tahun itu telah menyerahkan anaknya kepada pembantu rumah untuk diberikan susu selepas bayinya itu menangis dan masuk ke dalam bilik.
Semasa di dalam bilik dia dipercayai nekad terjun sebelum mayatnya ditemui oleh pengawal keselamatan dalam keadaan berlumuran darah di tingkat bawah.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Shahrul Mansor berkata, mengikut keterangan pembantu rumah, sebelum kejadian majikannya itu sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum dia dipanggil untuk mengambil anaknya dan diberi makan.
Wanita itu, yang namanya tidak didedahkan, dikatakan tidak mampu menghasilkan susu badan untuk menyusukan anaknya.
“Pembantu rumah itu membawa bayi masuk ke dalam bilik lain dan memberikannya susu. Apabila datang kembali untuk menyerahkan bayi, dia tidak menjumpai majikannya itu,” kata ACP Sharul.
Menurut beliau lagi, pembantu rumah itu dikatakan baru bekerja selama dua minggu manakala suaminya berada di rumah keluarganya di Petaling Jaya pada masa kejadian.
Difahamkan, ibu si mati telah datang melawatnya dan bayi sehari sebelum tragedi itu.
“Menurut kata si suami, isterinya berada di bawah tekanan kerana tidak dapat menyusukan bayi dan menyatakan bahawa dia bosan apabila hanya duduk di rumah kerana tiada kerja yang boleh dilakukan,” katanya.
Polis mengesahkan tiada unsur unsur jenayah dan mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. -Kedahnews.com