Ibu Dan Anak Maut Motosikal Dirempuh Lori Di Jitra

Gambar Hiasan
ALOR SETAR – Seorang ibu dan anak perempuannya maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat di Kepala Batas, Jitra semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian pada 6.40 petang itu, Hasnah Din, 54, dan anaknya Nurshaheera Mansor, 13, dari Taman Mas Merah, Titi Gajah maut di tempat kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati motosikal mangsa dari arah Kampung Naga menuju Kepala Batas berhenti di hentian lampu isyarat sebelum dirempuh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, lori terbabit membelok ke jalan utama Kepala Batas-Jitra untuk ke Jitra terpaksa mengelak sebuah kereta berada di hadapannya lalu merempuh motosikal yang dinaiki mangsa.

“Kita minta saksi kejadian tampil ke balai Polis Jitra untuk beri maklumat bagi memudahkan polis melakukan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra sebelum dituntut anggota kelurga. – BERNAMA