Ibu Menangis Ketika Anak Dituduh Merogol OKU Depan Hakim


Kuala Lumpur - Akibat gagal mengawal emosi, seorang ibu tidak dapat menahan air matanya apabila melihat anak lelakinya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas pertuduhan merogol seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) berusia 15 tahun, bulan lalu.

Selepas tamat prosiding, wanita berusia 60-an itu dilihat lari memeluk anaknya yang masih berdiri di kandang tertuduh sambil memberikannya sebungkus minuman.

Wanita itu juga dilihat mencium tertuduh beberapa kali sambil menangis sebelum lelaki itu dibawa masuk ke dalam lokap mahkamah oleh polis.

Terdahulu, Faairuz Jamaluddin, 25, yang bekerja sebagai mekanik mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pelajar tingkatan tiga di sebuah bilik di rumahnya jam 4.30 petang, pada 28 September lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan boleh sebat jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh mengenali mangsa disebabkan mereka berjiran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu kemudian memohon agar dia dibenarkan dijamin atas alasan dia perlu menjaga ibunya yang sudah tua.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Selain itu, mahkamah menetapkan 9 November ini sebagai sebutan semula kes.

Sumber: myMetro