Aishah menunjuk struktur rumahnya yang rosak setelah pembinaannya terbengkalai sejak sembilan tahun lalu. |
JITRA - Seorang ibu tunggal merayu pihak berkenaan membantu menyiapkan pembinaan rumahnya yang terbengkalai di Kampung Imam, di sini.
Aishah Mohammad, 64, berkata, pembinaan rumah itu terbengkalai sejak sembilan tahun lalu berikutan masalah kewangan.
"Saya buat rumah ini hasil wang simpanan masa bekerja mencuci bangunan di Universiti Utara Malaysia (UUM).
"Tapi pembinaan rumah ini terbengkalai... masa itu saya terpaksa berhenti kerja sebab masalah kesihatan," katanya.
Menurutnya, sejak itu, dia bersama seorang anak lelakinya terpaksa tinggal menyewa.
"Masa di rumah sewa kami hidup dalam kebimbangan. Apa tidaknya setiap kali hujan, tak perlu lama satu jam saja, rumah mesti dinaiki air.
"Air dari parit masuk rumah dan masa itu memang bimbang kalau-kalau ada haiwan berbisa," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, masalah pembinaan rumahnya yang terbengkalai pernah diajukan kepada beberapa agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Zakat dan pejabat penghulu.
"Memang ada yang datang dan ambil gambar... tapi malangnya sampai sekarang tak ada tindakan.
"Malah, struktur binaan rumah juga makin rosak sebab terbiar lama, ada dinding yang runtuh sebab hakisan," katanya.
Katanya, dia sudah tidak mampu menyambung pembinaan rumah berkenaan memandangkan kini hidupnya disara bantuan zakat sebanyak RM450 sebulan.
"Saya memang tak mampu... bantuan zakat yang diperoleh itu saya buat bayarkan sewa rumah RM150, selebihnya saya guna untuk menyara hidup kami dua beranak.
"Jadi, macam mana saya nak kumpulkan duit untuk sambung bina rumah? Ada masanya kami terpaksa pinjam dengan saudara bila duit bantuan tak cukup untuk makan.
"Jadi, kami amat berharap ada pihak yang dapat bantu baiki rumah supaya dapat kami diami," katanya.
Sementara itu, Pegawai Pejabat Zakat Kubang Pasu, Hamidi Mohd Noor berkata, keluarga itu dibantu dengan bantuan bulanan RM450.
"Dari segi kediaman itu, kita tak dapat bantu sebab status tanah yang perlu diperjelaskan supaya tak timbul masalah dengan jiran.
"Kita akan cuba bantu jika status tanah itu tiada sebarang masalah. Bukan apa kita bimbang akan timbul masalah selepas pembinaan siap nanti," katanya.
Sumber: Sinar Harian