PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Khamis menerima kunjungan hormat Imam Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis, Imam Ali Omar Yacoub Abbasi di kediaman rasminya di Seri Perdana di sini.
Perdana Menteri dan tetamu kemudian bersama-sama mengerjakan solat Maghrib, solat Isyak serta solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan Malaysia dan Palestin yang diimamkan oleh Ali Omar.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi Tabung Haji, Datuk Azeez Abdul Rahim dan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad.
.
Dalam pertemuan itu, Ali Omar merakamkan penghargaan atas perjuangan perdana menteri membela nasib Palestin dan Masjid Al-Aqsa selama ini termasuk ketika berucap lantang pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini.
Kata beliau, tidak banyak pemimpin Islam yang berani membangkitkan isu Palestin dan mengutuk keras penindasan rejim Israel secara terbuka seperti yang diperjuangkan oleh Najib sejak sekian lama.
Imam Masjid Al-Aqsa itu turut mendoakan kesejahteraan Malaysia dan Najib sendiri agar mampu berdepan dengan pelbagai cabaran untuk terus memimpin negara ini. – BERNAMA