ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 22 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warga Indonesia dalam Ops Sapu di sekitar Tasik Beris dan Jeniang awal pagi tadi.
Pengarahnya, Mohamad Yusri Hashim berkata, 19 lelaki dan tiga wanita warga Indonesia berumur 21 hingga 69 tahun itu ditahan dalam operasi bermula pada jam 1.45 pagi itu.
"Kesemua mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen dan kerana tinggal di negara ini sehingga melebihi tempoh," katanya di dalam kenyataan hari ini.
Kesemua Pati itu kini ditempatkan di lokap Imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini untuk siasatan lanjut sebelum dipindahkan ke Depoh Imigresen Belantik, Sik. - Bernama