Antara Pati ditahan di tapak pembinaan berkenaan. |
ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah berusaha mencari majikan yang menggaji pendatang tanpa izin (Pati) yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah bangunan dalam pembinaan di Bandar Alor Setar, di sini, kelmarin.
Bertindak atas maklumat, Penolong Pengarah Imigresen, Yusrazif Wan Yusuh yang mengetuai Ops Sapu melakukan serbuan berkenaan kira-kira jam 4.20 petang, kelmarin.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, pihak mereka menahan 19 warga asing berusia 17 hingga 42 tahun melalui serbuan itu.
“Antara ditahan, 10 warga Bangladesh, enam warga Myanmar dan tiga warga Indonesia yang didakwa bekerja sebagai buruh binaan di tapak pembinaan tersebut.
“Mereka ditahan atas kesalahan berbeza iaitu 12 pekerja asing atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah, enam individu melanggar syarat pas lawatan dan selebihnya disebabkan tinggal lebih masa.
"Semua warga asing berkenaan ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik," katanya.
Sumber: Sinar Harian