Indonesia Tidak Mahu Rokok Kretek Jadi Warisan Budaya Negara

Gambar Hiasan
Jakarta - Cadangan menjadikan rokok keretek sebagai antara warisan budaya Indonesia dikeluarkan daripada satu draf undang-undang oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

Keputusan itu dibuat oleh satu suruhanjaya dewan yang bertemu pada Selasa lalu bagi membincangkan rang undang-undang baru itu.

“Dalam pertemuan ini kami bersetuju mengeluarkan rokok keretek daripada draf undang-undang kebudayaan.

“Draf undang-undang ini nanti dibentangkan di DPR tanpa memasukkan rokok keretek tradisional,” kata ketua suruhanjaya itu, Riefky Harsya.

Badan itu sebelum ini menyatakan rokok keretek adalah sebahagian daripada warisan kebudayaan Indonesia dan ia perlu dilindungi serta dibantu dari segi pembangunan, malah dipromosi pada sesuatu festival.

Bagaimanapun, cadangan itu mencetuskan bantahan beberapa pihak kerana rokok boleh menjejaskan kesihatan.

“Kerana cadangan ini mendapat bantahan orang ramai dan berpotensi mencetuskan isu baru, kami sebagai wakil kepada rakyat mempertimbangkan balik cadangan ini,” katanya. - Agensi