iPhone 6s Rasmi Akan Mula Dijual Di Pasaran Malaysia Pada 16 Oktober Ini


APPLE secara rasminya mengumumkan yang mana mereka akan mula menjual telefon pintar terbaru mereka, iPhone 6S dan juga iPhone 6S Plus di Malaysia bermula daripada 16 Oktober ini

Seperti yang diketahui, penambahan huruf ‘S’ kepada kedua-dua telefon pintar terkini daripada Apple ini merupakan kesinambungan daripada iPhone 6, iaitu menyertakan beberapa fungsi baru bersama-sama dengannya.

Salah satu perkara yang menjadi fokus utama pada peranti ini adalah sokongan 3D Touch, membolehkan pengguna mengaktifkan menu pantas dengan menekan pada skrin paparan.

Apple menjayakan fungsi ini dengan menggunakan teknologi force touch yang telah digunakan pada Macbook dan Apple Watch sebelum ini.

Disamping itu, peranti baru ini juga membawakan fungsi Live Photos, kamera belakang 12-megapixel iSight, dan kamera hadapan 5-megapixel. Kedua-duanya dijana menggunakan cip terkini Apple, iaitu Apple A9.

Apple turut mengatakan telefon pintar ini membawakan rekaan yang lebih kukuh berbanding iPhone sebelum ini, menggunakan logam yang digunakan pada industri aeroangkasa.

Melengkapkan peranti ini adalah penggunaan sistem operasi iOS9, menyertakan penambah-baikkan pada Siri, aplikasi Notes yang dikemaskini, serta lebih fokus terhadap privasi, pengoptimasian dan masa penggunaan bateri.


Apple masih tidak mengumumkan sebarang harga jualan untuknya buat masa ini. Syarikat telekomunikasi tempatan dijangka akan menawarkan ia bersama-sama pakej mereka untuk pasaran tempatan.

Apa yang pasti, harga yang akan ditawarkan pastinya tidak menjangkaui RM8 ribu seperti mana yang dibawakan oleh sesetengah pihak pemborong di Malaysia sebelum ini. -Kedahnews.com