iPhone Laku Dijual Di Pasaran, Untung Apple Meningkat 31 Peratus


SAN FRANCISCO – Apple Inc mencatat peningkatan ketara untung dan pendapatan pada suku keempat berakhir 26 September 2015, selepas menjual 48.05 juta unit telefon pintar itu pada suku dikaji.

Dengan itu, untung syarikat terbesar dunia daripada nilai pasaran itu naik 31 peratus kepada AS$11.1 bilion (RM47.3 bilion) manakala pendapatan naik 22 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada AS$51.5 bilion (RM219.5 bilion) pada suku keempat.

Syarikat teknologi itu yang berpangkalan di California dan memperkenalkan versi baharu iPhone 6 pada September, berkata bilangan unit yang dijual naik 22 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan naik 36 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif, Tim Cook, berkata fiskal 2015 adalah ‘tahun kewangan paling cemerlang dalam sejarah Apple’ menerusi peningkatan jualan iPhone dan pelbagai produk baharu yang diperkenalkan.

“Kita memasuki musim percutian dengan barisan produk paling kukuh termasuk iPhone 6S dan 6S Plus, Apple Watch, iPad Pro dan Apple TV yang akan mula dihantar mulai minggu ini,” kata Cook dalam kenyataan itu.

Bagi seluruh tahun fiskal 2015 berakhir 26 September 2015, Apple mencatat untung AS$53.4 bilion (RM228 bilion), naik 35 peratus manakala pendapatan naik 28 peratus kepada AS$233.7 bilion (RM996.2 bilion). – AFP