#Islam: Antara Sayap Kapal Terbang Dan Sayap Malaikat...

Semuanya adalah pantulan kehebatan Allah...
SAMPAI akhirnya. Alhamdulillah! Ketika hampir mendarat mata saya terpaku kepada sayap pesawat SV 828. Hebat sekali otak manusia yang mampu mencipta kapal terbang hingga mampu digerakkan dengan struktur fizikalnya yang unik. 

Pergerakan sejauh ribuan kilometer dikawal hanya dengan beberapa enjin dan dua sayap. Lalu hati teringat kehebatan makhluk Allah yang jauh lebih banyak sayapnya iaitu para malaikat.

Anda pernah melihat malaikat? Anda percaya malaikat? Ya! Sudah pasti! Ia adalah antara rukun iman. Walaupun tidak kelihatan di mata, malaikat sentiasa dekat di hati manusia. Manusia kufur sejahat Firaun pun percaya wujudnya malaikat: 
“(Firaun berkata lagi)(Kalau betul dia seorang Rasul) maka sepatutnya dia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya).” (al-Zukhruf[43:53]).
Bukan setakat itu, watak adiwira pembela manusia tertindas pun dikhayalkan sehebat malaikat. Mampu terbang, bergerak sepantas kilat dan melakukan yang mustahil.

Dalam bicara al-Quran, malaikat adalah duta Allah kepada manusia: 
“Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap, dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakan-Nya apa jua yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Fatir [35:1]).
PELBAGAI PORTFOLIO MALAIKAT

Rupanya malaikat juga dipanggil “Rasul” atau “utusan Allah” dengan pelbagai jawatan dan portfolionya:
“Allah memilih utusan-utusan-Nya daripada malaikat dan manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Hajj[22:75]).
Antara jawatan tetap `kerasulan’ mereka adalah pencatat rekod amalan dan mengambil nyawa:
 “Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hamba-Nya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (Malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).” (al-An’am [6:61]).
Ayat surah Fatir di atas menyebut antara `spesifikasi utama’ para malaikat adalah bersayap dan sayap mereka pula berbeza mengikut kehendak Allah.

Samalah seperti dunia manusia, enjin berbeza membawa kapasiti dan kemampuan berbeza pada pesawat ciptaan manusia.

Jibril a.s. diiktiraf antara malaikat terkuat yang sangat bijaksana:
“Wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (Malaikat Jibril yang amat kuat gagah lagi mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal,” (al-Najm[53:5-6]).
“Kekuatannya pula ditambah pada sayapnya yang bukan dua, tiga atau empat tetapi mencecah 600 buah sayap. Antara dua sayapnya seluas timur dan barat.” - Sahih Bukhari, Muslim.
Segala kepelbagaian ini jelas menunjukkan Allah adalah Tuhan sebenar alam semesta yang mampu mencipta dalam berbagai rupa bentuk. 

Selepas ini jika anda berasa kagum dengan kehebatan malaikat, keindahan alam atau kehebatan manusia, segeralah ingat bahawa mereka semua hanyalah pantulan kehebatan Allah di alam ini. Janganlah kita terpedaya pada kanvas sebaliknya kagumilah Pencipta atau Pelukis kanvas tersebut.

Semoga musafir haji kali ini memberi pengajaran yang penting untuk hidup kita semua. Ya Allah, terimalah ibadah haji kami ini sebagai `Haji yang Mabrur’ dan mengubah kami menjadi hamba-Mu yang senantiasa istiqamah dalam ketaatan sehingga akhir hayat kami.

*ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL- HAFIZ/Utusan