#Islam: Beza Antara Undang-Undang Malaysia Dan Undang-Undang Islam


DI Malaysia, kebanyakan orang memilih syarikat sebagai salah satu cara untuk menjalankan perniagaan. Ini dapat dilihat menerusi bilangan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Di sesetengah negara maju, pendaftaran perniagaan dan syarikat boleh dilakukan melalui Internet secara atas talian.

Di Malaysia, terdapat Akta Syarikat 1965 yang mengawal selia urusan pendaftaran sesebuah syarikat. Akta ini banyak berdasarkan undang-undang Inggeris. Kita dapati di Malaysia sesebuah syarikat tidak boleh wujud secara sah tanpa pendaftaran.

Untuk diiktiraf sebagai individu yang sah, sesebuah syarikat harus melalui proses pendaftaran secara formal. Untuk mendaftarkan suatu syarikat, permohonan perlu dibuat kepada SSM bertanyakan tentang nama yang dicadangkan.

Ini bertujuan memastikan cadangan nama itu tidak atau belum pernah digunakan oleh mana-mana syarikat. Jika tiada isu terhadap nama yang dicadangkan, barulah boleh digunakan dan dirizabkan selama tiga bulan dari tarikh surat.

Dalam tempoh tiga bulan tersebut, beberapa dokumen tentang syarikat perlu dihantar kepada SSM. Beberapa perkara juga perlu diselesaikan dalam menyempurnakan pendaftaran sebuah syarikat. Nama ahli syarikat tersebut dan bilangannya mesti ditentukan sekurang-kurangnya dua orang. Ahli-ahli juga perlu memberi persetujuan untuk menjadi ahli dalam bentuk tulisan.

Bagi syarikat sendirian berhad, ahlinya tidak boleh melebihi 50 orang tetapi bagi syarikat awam tiada had maksimum bagi bilangan ahli. Berapa jumlah saham yang akan diperoleh setiap ahli harus juga dipastikan.

Sesebuah syarikat juga harus mempunyai sekurang-kurangnya seorang setiausaha syarikat. Setelah berdaftar, Pendaftar Syarikat akan mengeluarkan sijil dan tertubuhnya sebuah syarikat baru bermula dari tarikh di atas sijil tersebut.

Bagaimanapun, undang-undang Islam melihat sebuah syarikat sebagai satu cabang daripada kontrak; di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalankan perniagaan. Justeru, sesebuah syarikat itu boleh wujud sama ada secara lisan ataupun melalui perjanjian bertulis.

Kepentingan lebih diberikan kepada perjanjian lisan dise­babkan lafaz tersebut dianggap sebagai jelas dan lebih meya­kinkan bagi menunjukkan ‘free consent’ atau persetujuan yang bebas. Bagaimanapun ini tidak bermakna perjanjian bertulis tidak mempunyai tempat dalam undang-undang Islam.

Para ulama telah membincangkan tentang perkara ini dan dipersetujui bahawa perjanjian bertulis hanya diperlukan apabila terdapat sebelah pihak yang tidak dapat melafazkan ataupun membuat perjanjian secara lisan.

Ini melibatkan pihak-pihak yang tidak dapat mendengar (pekak) atau tidak boleh bercakap dan sesiapa yang tidak mampu (mustahil) untuk mereka memasuki perjanjian secara lisan. Justeru, terdapat dua perbezaan tentang pendaftaran sesebuah syarikat antara undang-undang Islam dan Akta Syarikat 1965 (yang berdasarkan undang-undang Inggeris).

Pertama, di dalam al-Quran dan hadis tidak menyebut perincian tentang pembukaan syarikat atau perniagaan. Yang ada ha­nyalah perkara asas, sementara cara dan operasinya terserah kepada manusia. Undang-undang Islam berkaitan muamalah lebih mudah; selagi selari de­ngan prinsip Islam maka diboleh­kan.

Perbezaan kedua, di dalam agama Islam, mereka yang terlibat dalam urusan perniagaan patuh kepada Allah SWT.


Justeru, suatu perjanjian lisan sudah mencukupi bagi kedua-­dua belah pihak untuk mematuhi perjanjian walaupun tanpa perjanjian bertulis. Bagaimanapun, jika keadaan semasa memerlukan suatu perjanjian yang bertulis, maka boleh diikuti.

Kita dapati pendaftaran secara formal telah diamalkan di negara Arab (UAE Company Law), boleh dikatakan sebagai usaha oleh sebuah negara Islam untuk mengharmonikan de­ngan undang-undang Inggeris berkaitan pendaftaran sesebuah syarikat.

Tujuannya juga untuk mengiktiraf kepentingan perjanjian bertulis sebagai bukti untuk merekodkan sesuatu urusan yang penting. Akhirnya, apabila melihat perbezaan antara undang-undang ini, kita berharap ia akan dapat membantu usaha-usaha mengharmonikan undang-undang di Malaysia; agar dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.

*MASTURA MOHD. ZAIN, PENULIS ialah pegawai penyelidik di Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)/Utusan