#Islam: Hijratur Rasul Membawa Pengertian Iktibar Ke Tujuh Ibrah


Hijratul rasul dari Mekah ke Madinah memberi erti besar kepada arah tuju perjuangan umat Islam. Dari kota Mekah yang penuh dengan kemelut, berhijrah ke Madinah menemukan Muhajirin dan Ansar dalam suasana kasih sayang dan ukhuwah yang tinggi. 

Dari sebuah masyarakat yang majmuk merintis Sahifah Madinah yang unik dan dalam perjanjian Hudaibiah berlaku strategi bijaksana dan menuntut kesabaran yang tinggi supaya futul Mekah terjadi.

Peristiwa ini memberi iktibar umat Islam sepanjang zaman agar upaya pengurusan strategik dalam perjuangan terjadi. Sejarah dan kisah memang sifatnya mengulangi. Apa yang dilalui dari seerah Rasulullah SAW harus diteliti supaya menjadi iktibar. 

Banyak yang boleh dipelajari dari kisah dulu supaya pedoman hidup umat Islam terarah. Ada tujuh iktibar yang boleh dipelajari bagi jalur perjuangan umat Islam yang kini menghadapi kemelut yang semakin parah.

Pertama, keupayaan mengurus krisis - Rasulullah SAW selepas menerima perintah Allah untuk berhijrah berlindung di Gua Thur dengan sahabat yang dipercayai Abu Bakar As Siddiq sebelum mengatur strategi hablum minallah wahablumminannas (perlindungan Allah dan ikhtiari manusia) sehingga hijrah terjadi.

Sepanjang sejarah umat Islam banyak peristiwa berlaku yang boleh dijadikan iktibar tetapi malangnya umat Islam tidak banyak berguru dari sejarah sebaliknya mendalamkan jurang perpecahan dan perseteruan sehingga akhirnya kerosakan umat Islam berlaku dengan parahnya tanpa jalan keluar.

Kedua, asas yang mula dibina di Madinah adalah binaan masjid sebagai tempat membina solat dan jemaah yang menemukan dialog ukhuwah yang menjadi asas kepada kekuatan ummah di Madinah. 

Iktibar ukhuwah menjadi terlalu penting kepada umat Islam kerana perpecahan dan permusuhan akan membawa kepada kehancuran umat dan perseteruan yang panjang. 

Apa yang terjadi hari ini adalah akibat daripada meninggalkan sunnah Rasulullah SAW yang mendidik insan supaya memiliki rasa percaya yang tinggi dan tidak timbul dendam kesumat dan perseteruan yang memanjang. 

Kalau tidak, apa yang berlaku di sebahagian negara Arab boleh berlaku di Malaysia akibat hilangnya tolak ansur dan persefahaman terhadap perbezaan.

Ketiga, pedoman hidup dalam masyarakat majmuk asas perpa­duan persefahaman dan muafakat menjadi terlalu penting. Terdapat faedah berbanding yang bermanfaat yang boleh dipelajari daripada budaya kaum lain yang sifatnya pelbagai.

Dalam surah Al-Hujurat Ayat ke-13, maksud littaarafu atau kekenalan harus difahami secara meluas supaya proses kekenalan membawa kepada menghargai ciri-ciri menyumbang dari orang-orang lain. 

Pengalaman Sahifah Madinah memperlihatkan ada pihak yang cuba menyimpang dari muafakat yang dipersetujui. Ini menyebabkan muafakat pecah. 

Amat penting dalam Malaysia iktibar ini diteliti supaya pengertian interaksi sosial yang tinggi seharusnya menjadi landasan dalam amalan bernegara. Kalau terjadi perbezaan pandangan, tanganinya dengan etika perbezaan yang tinggi.

Iktibar keempat, Islam sering menjadi agama yang disalah fahami. Islam memiliki kualiti yang sifatnya alamiah atau universal. Islam mendukung sifat amanah, adil, telus dan tulus, menghormati kebebasan beretika dan hak asasi manusia yang amat diperlukan oleh umat manusia lain. 

Kualiti interaktif ini boleh menjadi jambatan persefahaman yang sifatnya menyumbang ke arah perpaduan dan persefahaman.

Perpaduan adalah kunci utama dalam masyarakat majmuk sesama dalam kalangan masyarakat Islam yang berlainan etnik apa lagi dalam kalangan masyarakat bukan Islam kerana lebih banyak titik persamaan daripada titik perbezaan sekiranya faktor etika menjadi pedoman bernegara. 

Pada prinsipnya agama mengajar etika yang baik dan kebaikan ini elok dikembangkan dalam batas kemanusiaan yang boleh merintis sifat muafakat, persefahaman dan tolak ansur yang tinggi. Kalau fahaman bangsa dikembangkan atas asas rasisme ini amat bahaya dalam proses bina negara.

Iktibar kelima ialah terjadinya anjakan mengenai binaan konsep umran badhawa (masyarakat berpindah randah) dan konsep umrah hadhara (masyarakat kota). Madinah menjadi kota maju dan bertamadun sehingga konsep madani menjadi lambang negara kota. 

Dalam tempoh beberapa tahun Madinah muncul sebagai kota bersistem di mana hubungan kemasyarakatan dan perdagangan terjadi.

Ini membuktikan dengan jelas bahasa Islam tidak menentang perubahan dan kemajuan. Tetapi iktibar Islam meletakkan kemajuan insan (rijal) sebagai landasan perubahan, insan dijadikan fokus dalam proses pengilmuan, pendidikan dan kemajuan supaya pengurusan sistem dikendalikan oleh tangan-tangan yang amanah dan berintegriti.

Iktibar keenam dalam menimba kesan hijratul rasul di Madinah ialah terbinanya pusat ilmu dan pengajian serta pendidikan yang memberikan landasan kepada pendidikan Islam seterusnya. Rasulullah SAW telah membina halaqah (usrah) dan suffah di mana pengajian al-Quran berlaku dan tradisi hafazan terjadi.

Tradisi madrasah di zaman kemudian memberi sumbangan yang amat besar dalam tradisi peng­ilmuan dan mampu mencetuskan tamadun. Islam tidak saja dilihat maju dalam ilmu diniah atau agama tetapi maju dalam bidang matematik, sains, perubatan dan ilmu bintang.

Iktibar ini penting dijadikan rujukan kepada ilmuan Islam kini supaya tertampil ilmu mengurus diri (Naqliah) dan ilmu mengurus sistem (Aqliah) dalam tradisi pengilmuan Islam kini supaya tidak berlaku pemisahan antara ilmu yang berorientasi agama dan ilmu yang tidak berorientasikan agama.

Pendekatan integratif seperti yang sedang berlaku dalam tradisi Ulul-albab yang sedang berjalan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) kini adalah jalan terbaik bagaimana faktor naqli (wahyu) dan aqli (akal) sifatnya saling menyantuni. Ini bakal melahirkan insan holistik yang mampu mengurus diri dan mengurus sistem.

Iktibar ketujuh yang sifatnya futuristik yang dimiliki oleh Rasulullah SAW menjadi visi agung perjuangan Baginda seterusnya. Sepuluh tahun berada di Madinah menyebabkan Baginda tidak pernah lupa kota Mekah yang ditinggalkannya.

Rasulullah SAW mempunyai tekad tinggi dalam strategi Futul Mekah sebagai fasa seterusnya mengembangkan Islam di Jazirah Arabia. Dalam usaha berpindah ke Mekah berlaku peristiwa Hudaibiah yang amat bersejarah. 

Rombongan Rasulullah SAW diminta menangguhkan pemergian ke Mekah pada tahun berikutnya. Rasulullah SAW tidak menolak saranan itu walaupun Saidina Omar tidak bersetuju.

Rasulullah SAW memiliki hikmah yang besar melihat strategi ini adalah sesuatu yang bijaksana. 

Pertama, orang Mekah sudah mula mengiktiraf kekuatan Rasulullah SAW. 

Kedua, penangguhan keberangkatan Rasulullah adalah strategi bijaksana kerana tahun berikutnya Rasulullah SAW berjaya sampai ke Mekah tanpa halangan. 

Kalau dijejaki kesan seerah Nabawiyyah ini ia memberi erti yang amat besar terhadap kelangsungan perjuangan memartabatkan Islam seterusnya. Banyak sebenarnya iktibar yang boleh dijadikan ibrah kepada umat Islam hari ini.

Sumber: Utusan