#Islam: Hukum Bayar Zakat Sendiri, Tidak Terus Ke Lembaga Zakat

Surau di tempat tinggal saya dapat sumbangan zakat daripada Lembaga Zakat Selangor bagi membaik pulih dan pembesaran ruang solat. Bolehkah saya membayar zakat diri saya dengan cara memberi kepada pihak ahli jawatankuasa surau bagi tujuan yang sama dengan lembaga zakat?   
Saya juga ingin tahu apakah boleh jika zakat diri saya diberikan terus kepada pihak sekolah tahfiz bagi tujuan membayar yuran anak-anak yatim yang belajar di situ kerana saya bimbang kalau dibayar kepada anak-anak yatim tersebut, wang itu akan disalah gunakan? 
* Azmi Haron, Batu Caves. 

DUKE: Ulama tersohor, Dr. Yusuf al-Qardawi mengatakan bahawa menyalurkan zakat untuk pembangunan masjid termasuk infak zakat fi sabilillah (di jalan Allah) demi menjunjung tinggi kalimat-Nya serta membela agama dan umat-Nya. 

Dan setiap infak harta untuk semua kegiatan demi menjunjung tinggi kalimat (agama) Allah tergolong dalam fi sabilillah.  

Maka jika anda ingin memberi terus zakat anda tanpa melalui pusat zakat yang dilantik oleh pemerintah, anda perlu melihat kepada beberapa perkara kerana tidak boleh semua zakat anda hanya diagihkan zakatnya kepada satu asnaf sahaja. 

Antaranya ialah keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 hingga 23 November 2006 telah membincangkan hukum mengagihkan zakat secara persendirian dan qada zakat. 

Muzakarah telah memutuskan bahawa: 
Dari segi siasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam.
Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah atau ulil amri adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut.  

Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa. 

Kerana dalam Islam, patuh dan taat kepada pemerintah dalam perkara kebaikan adalah wajib. 

Saya mencadangkan agar anda membayar zakat di pusat zakat di tempat anda dan membuat pengiraan dengan pegawai zakat dan memohon agar anda dapat membayar di tempat yang anda ingin sampaikan selepas pengiraan tentang jumlah pembahagian asnaf dilakukan.  

Bab anak yatim ini, mereka bukan asnaf yang berhak mendapat zakat. Yang dapat zakat ialah anak-anak yatim yang termasuk dalam asnaf. 

Kalau mereka bukan asnaf, malah ada anak yatim yang kaya raya tidaklah berhak mendapat zakat. 

Jadi anda kena pastikan adakah anak yatim itu termasuk dalam lapan golongan asnaf itu atau tidak. Kalau termasuk maka bolehlah diserahkan kepada mereka atau yang menjaga mereka, jika mereka tidak mampu menguruskannya. 

Sumber: Datuk Ustaz Kazim Elias/Utusan