#Islam: Hukum Sebenar Perihal Memakai Tangkal Azimat

Gambar Hiasan
Seorang rakan saya membeli azimat menerusi iklan di akhbar. Apakah pandangan Islam mengenai azimat? Apakah hukum bagi seseorang Islam memakai azimat? Bolehkah ia dipakai sebagai ikhtiar, tetapi tidak mempercayai azimat itu sepenuhnya? 
Adakah akidah seseorang itu akan terpesong dengan memakai azimat? 
DEEN, KL
Jawapan:

Azimat adalah sesuatu yang dianggap mempunyai kuasa luar biasa dan seperti tangkal, diharap melindungi pemakainya daripada bahaya.

Terdapat larangan secara umum mengenai pemakai azimat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud; 
“Sesungguhnya jampi mantera, azimat dan guna-guna adalah syirik.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Al-Hakim, At-Tabrani dan Al-Baihaqi)
Mengikut Majlis Fatwa Kebangsaan, amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin, penimbul, penyeri, pemanis, mempercepatkan jodoh, pelaris, penunduk musuh, penunduk kata, pemerdu suara, pembungkam, penarik rezeki, penjaga diri, penguat tenaga batin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir, adalah syirik dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Usaha pergi mendapatkan mereka juga sudah menjadi kesalahan.

Sama ada percaya atau tidak, berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud; 
“Sesiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan, maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah SWT turunkan kepada Nabi Muhammad SAW.” (Hadis Riwayat al-Bazzar)
Bagaimanapun, terdapat perselisihan ulama membolehkan azimat dengan syarat yang begitu ketat. 

Oleh itu, menjauhi perkara ini adalah lebih wajar kerana kejahilan masyarakat boleh menjurus kepada penyelewengan akidah yang dipanggil syirik.

Bahaya syirik adalah dosa tidak diampunkan oleh Allah SWT.

Islam mengajar kita berdoa, berusaha dan bertawakal. Semua itu hendaklah mengikut syariat dan adab yang digariskan Islam berdasarkan dalil, perbincangan golongan alim ulama dan pengalaman perubatan serta bukti kajian saintifik. Wallahualam.

Sumber: Ust Haslin Baharin/myMetro