#Islam: Istiqamah Membantu, Doa Bertali Arus Untuk Palestin


Isnin lalu, seorang remaja Palestin ditembak mati, manakala beratus-ratus lagi penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel dan pendatang haram Yahudi di Tebing Barat. Keganasan terbaharu itu tercetus selepas rejim Zionis menguatkuasakan larangan terhadap penduduk Palestin daripada memasuki kota lama Baitulmaqdis.

Kekejaman Zionis di bumi Palestin bukanlah baharu. Tragedi Deir Yassin, Nakbah 1948, Naksah 1967, Sabra Shatila 1982, Khalil, Jenin, Gaza dan ratusan lagi adalah bukti siri keganasan rejim Zionis Israel.

Malangnya, dunia seolah-olah ‘bisu, pekak dan buta’. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) persis hilang taring untuk bertindak ke atas kerajaan Zionis Israel. Malah banyak resolusi yang diluluskan hanya tinggal resolusi tanpa sebarang tindakan.

Masyarakat antarabangsa dan umat Islam hanya mampu menonton, mengutuk dan sekadar bersimpati dengan nasib malang rakyat Palestin. Selagi kuasa besar dunia menjadi boneka yang bersekongkol dengan Pertubuhan Zionis Sedunia, maka selagi itulah siri jenayah ini akan terus bermaharajalela.

Sebab itu, kita menyokong ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Perbahasan Sesi Ke-70 Perhimpunan Agung PBB di New York, baru-baru ini yang mengutuk kekejaman rejim Zionis Israel di wilayah Palestin yang mereka duduki dan menggesa penyelesaian muktamad dicapai. Ini supaya ketidakadilan dan penindasan ke atas rakyat Palestin yang menderita sejak 1948 ditamatkan.

“Berdekad-dekad terlepas tanpa hukuman dan penyahmanusiaan secara sistematik terhadap penduduk Palestin telah mendorong kepada peningkatan keganasan, memperluas penempatan haram dan peningkatan pencabulan hak asasi,” kata Najib.


Isu Palestin adalah isu umat Islam sejagat. Sebabnya, di situ letaknya Masjid Al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam dan tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.

Masjid ini adalah masjid yang kedua dibangunkan di muka bumi selepas Masjidilharam dan ia adalah masjid yang ketiga suci di sisi Allah SWT.

Perseteruan orang Yahudi terhadap orang Islam sudah dinyatakan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: 
"Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang yang beriman ialah orang Yahudi dan orang-orang musyrik". (al-Maidah: 82).
Pendudukan haram Zionis di Palestin menimbulkan kesukaran kepada kita untuk menziarahi Masjid al-Aqsa. Sedangkan bermusafir ke masjid tersebut adalah dituntut. Ia sebagai mana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: 
"Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid) kecuali (pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidilharam di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Aqsa di Palestin". (Riwayat al-Bukhari)
Malangnya, kita bukan sahaja sukar ke Masjid Aqsa, rakyat Palestin sendiri sering dihalang daripada beribadat di dalamnya oleh tentera Zionis.


Sebagai Muslim, marilah kita memberi perhatian kepada isu ummah ini. Walaupun pada zahirnya Malaysia adalah negara kecil dan secara logiknya sukar untuk bertindak bagi menamatkan penderitaan rakyat Palestin, kita sebagai individu boleh memainkan peranan dalam isu ini. Antaranya:
1. Memahamkan diri dan umat bahawa isu ini adalah isu bersama dan kita bertanggungjawab untuk memastikan kejayaan membebaskan Palestin. 
2. Memberi sumbangan dana untuk Palestin demi meringankan bebanan mereka. 
3. Menyebarkan maklumat mengenai isu ini dalam masyarakat melalui media massa dan juga media sosial. 
4. Berdoa agar Allah SWT memberi kemenangan kepada umat yang berjuang untuk mencari reda-Nya.


Sumber: Utusan