KONSEP baiah politik yang membawa kepada jatuhnya talak tiga pada isteri sekiranya seseorang meninggalkan parti Pas masih mengganggu fikiran ramai orang.
Isu ini belum lagi diperjelaskan oleh mereka yang bertanggungjawab dan perhatian masyarakat sekalipun ia tidak begitu diperdebatkan dalam media.
Namun dalam kalangan pemerhati politik, mereka merasa wujud kecelaruan jika perkara itu terus menjadi amalan.
Kita difahamkan Rasullullah melakukan baiah dengan tujuan supaya umat Islam terikat dengan dasar dasar yang diperjuangkan oleh Islam.
Sebaliknya Pas laksanakan baiah kerana politik hatta untuk menang pilihan raya serta meletakkan calon mereka dipersada pemerintahan.
Ertinya, baiah Pas mengikat rakyat dengan parti itu sedangkan baiah Rasulullah membawa rakyat mendukung dan komited pada Islam.
Parti Pas mahukan rakyat istiqamah dengan parti untuk memastikan mereka menang dalam pilihan raya dan memegang kuasa memerintah.
Inilah sebab kepimpinan Pas melaksanakan baiah dalam kalangan calon-calonnya yang bertanding pilihan raya.
Tindakan itu juga dibuat kerana bimbang ramai ahli parti itu melompat kepada parti serpihan Pas yang di daftar sebagai Parti Amanah Negara.
Rakyat menjadi tergamam apabila ulama parti itu menegaskan, sesiapa dalam kalangan calon Pas yang keluar parti dengan sendirinya akan mengakibatkan isteri mereka dijatuhi talak dan tercerai dengan talak tiga (astaghfirullah!).
Gambar Hiasan |
Kalangan ahli yang taksub dengan Pas merasakan baiah itu adalah janji dengan Allah sedangkan isu sebenar adalah isu politik yang tidak boleh digunapakai sebaliknya untuk hancurkan institusi keluarga.
Apa yang berlaku ini sangat tidak wajar kerana Pas adalah parti politik nasional dan tidak sekali kali boleh sabitkan roh agama dengan politik duniawi.
Perbuatan ini adalah dosa kerana Allah menegas sebanyak 17 kali dalam al-Quran supaya tidak menjual agama (Samanan khalila).
Mana boleh pemimpin Pas membuat dakwaan bahawa baiah dengan parti itu adalah umpama akur janji dengan Allah.
Islam menggalak umat untuk berdakwah meningkatkan martabat dan maruah Islam, bukan untuk mewujudkan parti politik yang membawa kepada keadaan haru biru dalam institusi kekeluargaan dan sengketa dalam masyarakat?
Amat malang bila isu talak dan cerai diguna pakai dalam baiah politik hingga kaum wanita menjadi taruhan?
Syukurlah Mufti Perlis dan Pulau Pinang menolak baiah talak tiga.
Mereka menganggapnya sebagai tidak sah.
Secara tidak langsung Majlis Syura Ulama Kelantan akan dilihat sebagai merendah dan menghina kaum wanita kerana fatwa jatuh talak tiga akibat meninggalkan parti Pas.
Hal ini sekali gus mengundang kumpulan dan pertubuhan wanita tampil mempersoalkan perkara tersebut.
Pelik dan celaru bila seorang suami yang keluar parti Pas terputus pertalian nikah dengan isterinya dengan talak tiga.
Apa jenis politik namanya ini?
Islam adalah agama mulia dengan peradaban yang membanggakan.
Bagaimanapun dek kerana mahukan kuasa dan agama disalah guna hingga menimbulkan kecelaruan yang bukan-bukan.
Sekaligus imej Islam rosak dan wibawa kepemimpinan parti Islam di persimpangan.
Sudah tentu gara-gara baiah ini menyakiti ramai keluarga orang Islam.
Ia juga menimbulkan kejutan kepada bukan Islam yang semuanya tahu politik ialah alat untuk mendapatkan kuasa mentadbir dan ini urusan dunia.
Masyarakat Islam akan merasa malu semalu-malunya apabila isu baiah merenggang kasih sayang dalam keluarga Islam kerana politik.
Menarik untuk ditanya apakah baiah politik ini boleh menjamin kestabilan dan keharmonian ummah. Tidakkah pemimpin Pas rasa berdosa dengan cerai berai ekoran baiah yang berpaksikan politik ?
Bagaimana nasib wanita yang tertalak kerana suaminya meninggalkan Pas untuk hijrah kepada parti lain.
Kita yakin bila institusi keluarga pincang, masyarakat akan rosak dan agama akan dipersalahkan, walhal tindakan semua ini berpunca daripada perilaku manusia yang gila kuasa. Wallahhualam.
*Zahari Abdul Hamid/Utusan