#Islam: Sedekah Jariah, Sumbangan Derma Perlulah Bijaksana


“TIDAK perlu usul, jika menipu sekalipun biarlah dia jawab dengan Allah.” Dialog ini lazim didengari apabila seseorang individu itu menghulurkan secebis rezekinya untuk dikongsikan bersama dengan pemu­ngut derma di tempat awam terutamanya yang kononnya mewakili rumah-rumah anak yatim dan sekolah tahfiz.

Secara teorinya bersedekah kepada sesiapa sahaja tanpa terlebih dahulu menilai kesahihannya sama ada pene­rimanya itu benar-benar layak atau organisasi yang diwakili itu benar-benar wujud, adalah harus dan tidak salah.

Perkara ini ditimbulkan kerana penipu yang bertopengkan agama memang wujud, bukannya kes terpencil yang boleh dipandang sebelah mata. Orang yang hendak menunaikan umrah di Mekah pun sanggup ditipu, inikan pula setakat orang ramai yang lalu lalang sambil hendak ke bank, pasar malam dan pusat beli-belah.

Sedikit fakta untuk dihadamkan mengenai penipuan pakej umrah, antara 2012 hingga September tahun lalu terdapat 134 laporan dibuat kepada pihak polis melibatkan nilai kompaun dan denda sebanyak RM4.8 juta.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan turut mencatatkan sebanyak 56 kes membabitkan agensi pelanco­ngan yang menganjurkan pakej umrah antara 2012 hingga Ogos lalu melibatkan nilai denda dan kompaun sebanyak RM222,000.

Dalam pada itu, sumber yang diperoleh daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mencatatkan seba­nyak 2,761 kes penipuan difailkan sejak tahun 2012 hingga Ogos lalu dan kesemua kes yang difailkan melibatkan jumlah denda dan kompaun sebanyak RM15.75 juta.

Justeru dalam kes beri derma, sekiranya semua penduduk negara ini yang me­lebihi 23 juta orang bersikap sedemikian, iaitu baik sangka sepanjang masa dibimbangi bakal memberikan bonus berganda kepada pihak tidak bertanggungjawab yang mempergunakan kanak-kanak dan wanita, untuk terus bermaharajalela.

Di Selangor, berdasarkan rekod Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor dari 2014 sehingga Jun 2015, terdapat seramai 72 individu disiasat di bawah Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 kerana memungut derma tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis Agama Islam Selangor.

Dalam operasi yang dijalankan pada 8 Julai hingga 15 Ogos lalu sebanyak RM35,246.21 dirampas daripada 137 individu dan kumpulan. Selain aktiviti pungutan derma oleh individu, operasi yang dijalankan juga meliputi 550 buah premis termasuk masjid, surau, stesen minyak, hentian rehat dan premis-premis perniagaan yang digunakan untuk meletakkan tabung-tabung derma.

Pihak berkuasa tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada orang ramai untuk melaporkannya. Mereka tetap perlu menggiatkan operasi turun padang. Apa yang penting, pastikan sindiket berkenaan melihat dan menyedari kewujudan pihak berkuasa. Lokasinya tidak perlulah dimaklumkan kerana semua pihak sudah mengetahuinya. Di mana ada ramai orang, maka di situlah mereka akan beroperasi.

Kepada pihak yang betul-betul meminta derma secara halal dan mempunyai permit tidak perlu rasa takut, hanya orang salah sahaja mempunyai perasaan sedemikian. Ia sama dalam kes mat rempit semasa road block yang sanggup bertempiaran memecut hingga menyabung nyawa melawan arus trafik, semestinya kerana tidak mempunyai lesen atau memiliki motosikal ‘sakit’.

Boleh beri derma atau sedekah, tetapi amat perlu untuk memiliki sedikit perasaan ingin tahu atau mungkin lebih tepat ‘jaga tepi kain orang lain’, sekurang-kurangnya ringankan mulut untuk bertanya terutamanya terhadap kanak-kanak atau mangsa terbabit.

Cuba bayangkan jika anak atau saudara mara kita yang berada di tempatnya. Sanggupkah kita membiarkan darah daging sendiri menjadi mangsa?

Sumber: Utusan