HIDUP senang-lenang memang idaman manusia. Islam pun tidak melarang umatnya menjadi kaya-raya asalkan cara mengumpul harta dan kekayaan itu dibenarkan oleh syarak. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan carilah setiap apa yang dikurniakan Allah kepada kamu di akhirat dan jangan kamu lupa nasib kamu di dunia. Dan berbuat baiklah seperti mana Allah berbuat baik kepada kamu. Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melakukan kerosakan.” (al-Qasas: 77)
Malangnya ada umat Islam yang terlibat dalam rasuah. Punca utama, ingin hidup mewah melalui cara mudah iaitu menindas orang lain. Sebab itu, membaca laporan media Rabu lalu tentang penangkapan 17 suspek oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cukup menyesakkan dada.
Manakan tidak, yang ditahan ialah penguat kuasa dan polis yang cuba meminta suapan daripada dua tauke rumah urut di sekitar Selangor. Sudahlah minta rasuah, wang rasuah itu pula hasil kegiatan maksiat. Makin bertambah besar dosa mereka yang melakukannya.
Dikatakan, mereka menerima wang suapan antara RM200 ke RM600 sebulan yang dikutip sendiri ketika melakukan ‘lawatan’ atau dimasukkan ke dalam akaun bank. Salah seorang suspek didakwa meminta rasuah antara RM30,000 ke RM60,000 bagi mengeluarkan lesen rumah urut.
Kita semua maklum tentang hukum memberi dan menerima rasuah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah.” (Riwayat at-Tirmidzi)
Jika yang terlibat itu sudah berkeluarga, bermakna dia suami dan bapa. Jika demikian mereka melakukan satu lagi kesalahan kerana mengheret keluarga kepada seksaan api neraka Allah. Sebabnya, hadis Rasulullah SAW menyebut:
“Setiap daging yang tumbuh daripada bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya.” (Riwayat at- Tirmidzi)
Walhal Allah memerintahkan para suami dan bapa memelihara dan menjaga isteri serta anak-anak daripada neraka. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka.” (at-Tahrim: 6)
Kepada mereka, apakah hujah bagi menjawab pertanyaan Allah di akhirat kelak dalam bab ini. Kenapa kelabu mata sehingga sanggup membawa pulang rezeki haram untuk memberi makan isteri dan anak-anak. Jika kesempitan wang, dengan kudrat yang diberikan Allah, masih banyak kerja atau usaha boleh dilakukan untuk menambah pendapatan. Pokoknya bukan makan rasuah.
Masa depan negara akan tergadai jika rasuah dibiar berleluasa. Dalam kes ini, golongan penguat kuasa yang sepatutnya menegakkan undang-undang jadi lemah akibat ‘dibeli’ oleh pengusaha rumah urut. Bayangkan keadaan yang lebih makro. Pastinya, keadaan negara kita akan lebih parah, jenayah dan maksiat makin berleluasa.
Oleh itu, janganlah kita memberi hadiah atau wang untuk melepaskan diri daripada hukuman atau meringankan hukuman. Walaupun namanya diubah kepada hadiah, tetapi hakikatnya tetap rasuah.
Para hakim, petugas, pemerintah dan penguat kuasa undang-undang juga jangan menerima sebarang bentuk hadiah, ini termasuk ghulul yang diancam dengan ancaman yang berat. Sabda Nabi SAW:
“Barang siapa yang kami tugaskan dengan suatu pekerjaan lalu kami tetapkan gaji untuknya, maka apa yang dia ambil di luar itu adalah harta ghulul.” (Riwayat Abu Daud)
Harta ghulul adalah yang diperoleh oleh pejabat (kerajaan atau swasta) melalui kecurangan atau tidak syarie, sama ada yang diambil harta negara mahupun masyarakat. Sesiapa yang berbuat curang, pada hari kiamat, dia akan datang membawa hasil kecurangannya. (rujuk ali-’Imran 161).
Islam melarang perbuatan ini bagi mengelakkan kezaliman, apabila orang berharta terlepas daripada dihukum dengan membayar wang, manakala orang yang tidak berharta dihukum. Biar rezeki kita sedikit tetapi halal dan berkat.
Sumber: Utusan