UMAT manusia sama ada yang baik, nampak baik, berlakon baik atau sememangnya jahat rasanya sepakat mengakui bahawa iblis iaitu bapa kepada syaitan ialah musuh utama manusia.
Malah jika ditanya Perdana Menteri kepada negara haram Israel, Benjamin Netanyahu rasanya dia akan mengakui bahawa makhluk ghaib itu punca segala kejahatan di dunia ini.
Barangkali kerana memahami maksud tersirat ini menyebabkan orang kita kurang gemar menjaga kebersihan tandas yang merupakan rumah syaitan. Tandas kena kotor, sebab nak pastikan syaitan sedih dengan kekotoran!
Apa yang peliknya, tandas di rumah masing-masing pandai pula memastikan kebersihannya tetapi apabila tiba kepada tandas awam atau masjid, langsung tidak dijaga kebersihannya.
Dalam kes-kes tertentu, niat asal untuk menyempurnakan ‘hajat’ di tandas kebanyakan masjid terpaksa dibatalkan apabila dari jauh terbau semerbak aroma hancing, pintunya terpaksa disendal dengan batang kayu, langkahan masuk disapa dengan najis kering dan terapung. Malangnya masjid iaitu rumah Allah itu dicat dan dijaga dengan elok, tetapi tandasnya?
Diakui memang terdapat tandas masjid yang bertaraf lima bintang, tetapi kenapa perlu terjadi perbezaan antara masjid-masjid lain. Adakah ajaran Islam mengenai pentingnya menjaga kebersihan berbeza di tempat-tempat lain?
Penulis tertarik dengan cadangan seorang rakan dalam kumpulan WhatsApp yang mencadangkan alternatif kepada pihak pengurusan masjid dan jemaah yang malas bagi memastikan tahap kebersihan tandas sentiasa terjaga.
“Dalam setiap daerah lazimnya mempunyai lima buah masjid mukim. Setiap masjid boleh buat sedikit bayaran kepada satu syarikat pencuci, bermakna dalam sebulan sebanyak RM5,000 dapat dikumpulkan. Syarikat ini boleh membuat giliran untuk mencuci tandas-tandas masjid terlibat.
“Kosnya macam mana? Jika malas kenalah berkorban sedikit atau alternatif lain yang boleh difikirkan ialah seperti menyewa sedikit tanah masjid atau bahagian tertinggi bangunan untuk didirikan tapak pencawang telekomunikasi. Sebahagian daripada kadar sewa ini boleh digunakan untuk kerja-kerja mencuci ‘rumah syaitan itu’,” kata rakan penulis itu.
Sebenarnya di dalam al-Quran terdapat pujian khusus Allah terhadap jemaah Masjid Quba’ yang menjaga kebersihan tandasnya. Pada suatu hari Rasulullah SAW terpegun dengan pujian Allah itu, lantas segera dihantar wakil bertanyakan apakah rahsia amalan mereka sehingga mengundang pujian Allah dalam ayat ini?
“Jangan engkau sembahyang di masjid itu (Masjid Dhirar yang dibina orang munafik) selama-lamanya, sesungguhnya masjid yang didirikan di atas dasar takwa (Masjid Quba’) sejak hari pertamanya sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin),” (al-Tawbah [9:108]).
Menurut Musnad Ahmad dan Tafsir Ibn Kathir: Mereka akan membersihkan kemaluan dan tempat menunaikan hajat “dengan air” setiap kali selesai menunaikan hajat. Nampak seperti remeh tetapi mereka yang pembersih amat tinggi nilainya di sisi Allah. Lebih hebat lagi pujian ini kekal dalam al-Quran dan diulang baca oleh manusia sehingga kiamat!
Sementara itu, tidak menyucikan diri dengan sempurna selepas kencing juga boleh mengundang azab kubur. Seperti tidak logik tetapi itulah hakikatnya. Memang terdapat hadis Rasulullah SAW mengenainya:
Pada suatu hari baginda bersama para sahabatnya melewati sebuah kubur, lalu baginda berkata:
“Mereka berdua (dalam kubur ini) sedang diazab, dan sebab mereka diazab bukanlah (kerana jenayah yang) besar pun. Rasulullah kemudiannya berkata: Sebenarnya ia memang dosa yang besar; seorang daripada mereka kencing secara terbuka. (Dalam riwayat lain disebut) “dia diazab kerana tidak benar-benar bersih daripada kencingnya. Manakala yang seorang lagi diazab kerana berjalan dengan umpatan (melaga-lagakan orang),” - Sahih Bukhari, Sunan al-Nasa’i.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa walau sebersih mana sesebuah tandas ia masih tetap rumah syaitan, cuma inisiatif itu bakal meningkatkan kemarahan makhluk itu apabila imej Islam bakal naik selari dengan kebersihan sebuah tandas.
Sumber: Utusan