#Islam: Tidak Perlu Teruja Pejuang Islam Di Luar Negara

KEJADIAN tsunami yang turut melanda Thailand pada 2004 mempunyai hikmahnya tersendiri terhadap sebuah sekolah pondok yang terletak di Bacho, Narathiwat, wilayah paling selatan di negara tersebut.

Pondok Ahmadiah Islamiah yang dahulunya seperti sekolah-sekolah pondok biasa yang lain, mula mencatat nama di peta dunia sejak tragedi bencana alam itu.

Kisahnya bermula ketika wakil kerajaan Turki datang ke negara tersebut untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa tsunami.

Selepas bantuan dihulurkan, wakil Turki berkenaan berkunjung ke Narathiwat bagi melihat sendiri negeri kelahiran sebahagian besar ulama Nusantara yang antaranya turut menyumbang kepada peradaban Islam dunia, yang sebelum ini hanya diketahui mereka melalui bacaan sama ada menerusi buku mahu pun alam maya.

Setibanya di Pondok Ahmadiah Islamiah, mereka terkejut dan berasa kagum kerana di sebuah sekolah yang begitu daif keadaannya, tersimpan begitu banyak al-Quran lama tulisan tangan.

Al-Quran tersebut yang dipercayai berasal dari Andalusia (Sepanyol), Arab, Indonesia, Tanah Melayu (Malaysia) dan Thailand sendiri, berusia antara 200 hingga 700 tahun.

Walau bagaimanapun, kitab-kitab yang kebanyakannya dibuat menggunakan kulit binatang dan kertas itu berada dalam keadaan uzur dan hanya menunggu masa untuk musnah.

Melihat khazanah berharga itu, wakil Turki berkenaan terus menawarkan diri untuk bekerjasama dengan pihak sekolah pondok terbabit untuk membaik pulih kitab-kitab tersebut.

Sehinggalah ke hari ini, kitab-kitab suci tersebut akhirnya dapat diselamatkan dengan sebahagiannya dibaik pulih di sekolah pondok itu sendiri manakala sebahagian lagi yang rosak teruk dihantar ke Turki.

Kesemua perbelanjaan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Turki, malah mereka mengupah tiga orang tempatan untuk melakukan kerja-kerja baik pulih di sekolah berkenaan.

Sejak daripada itu, Pondok Ahmadiah Islamiah tidak putus-putus menerima kunjungan khususnya dari negara-negara serantau, lebih-lebih lagi apabila kini sudah mempunyai muziumnya sendiri.


MANUSKRIP, ALAT PURBA MELAYU

Selain al-Quran, Pondok Ahmadiah Islamiah yang kini memiliki kira-kira 800 pelajar dan 74 guru turut menyimpan manuskrip-manuskrip Melayu lama bertulisan jawi.

Apa yang menakjubkan, sebahagian manuskrip tersebut menceritakan tentang teknologi purba yang diguna pakai orang Melayu suatu ketika dahulu. Antaranya, mesin menghasilkan gula, cara membuat keris, cara membuat perahu, ilmu pelayaran, ilmu perubatan dan sebagainya.

Menurut Pengurus Pondok Ahmadiah Islamiah, Mohd. Lutfe Smae, selepas kerajaan Turki menjalin kerjasama dalam kerja-kerja membaik pulih al-Quran di sekolah berkenaan, timbul hasrat di hatinya untuk menghimpunkan kitab-kitab lama termasuk manuskrip Melayu khususnya dari kawasan sekitar selatan Thailand.

Hasilnya, beliau bukan sahaja menemui khazanah istimewa tersebut, malah pelbagai alatan purba yang masih berada dalam keadaan baik.

“Sudah banyak pihak yang datang ke sekolah ini untuk melihat sendiri manuskrip dan alatan purba Melayu yang ada di sini. Malah ada yang menyatakan minat untuk membeli sebahagian daripada manuskrip itu.

“Selain menteri dari Indonesia, menteri dari Malaysia iaitu Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) juga pernah datang ke sini. Beliau malah meminta saya mengumpul 200 teknologi yang pernah digunakan oleh orang Melayu dahulu dan saya sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

Mohd. Lutfe berkata, sejak kerja-kerja menghimpun dan membaik pulih dilakukan, banyak pihak yang datang memberi sokongan sama ada dalam bentuk moral mahu pun kewangan.

Hasilnya, sekolah itu kini telah memiliki sebuah bangunan tiga tingkat baharu yang turut menempatkan bilik pameran al-Quran, manuskrip dan alatan purba berkenaan.

MAHASISWA, CENDEKIAWAN MALAYSIA DIJEMPUT BUAT KAJIAN

Menurut Mohd. Lutfe, pihaknya tidak mempunyai kepakaran untuk membuat kajian ke atas al-Quran dan manuskrip lama yang tersimpan di sekolah tersebut, sementelah mereka semua hanya lulusan sekolah pondok.

Sehubungan itu, beliau meluahkan hasratnya kepada Yayasan Kebajikan Anak-Anak Kuala Kangsar (Yayasan Anak Kuale) yang mengunjungi sekolahnya baru-baru ini untuk membawa mahasiswa dan cendekiawan dari Malaysia bagi membuat kajian terhadap khazanah berharga itu.

Beliau berkata, kebangkitan Islam akan timbul di kawasan Melayu Nusantara dan ramai pihak sedang menumpukan perhatian kepada Malaysia berdasarkan pencapaian-pencapaian yang dikecapi negara itu.

“Berbanding di selatan Thailand ini, Malaysia lebih banyak cendekiawan Melayu dan Islam, sebab itu saya sangat berbesar hati sekiranya mahasiswa-mahasiswa dari Malaysia dapat datang ke sini untuk membongkar khazanah yang kita ada.

“Khazanah ini khazanah kita bersama. Harta inilah yang diharapkan menjadi rujukan dan panduan kepada anak cucu orang Melayu Islam kita,” ujarnya.

“Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan”. Begitulah reaksi Pengerusi Yayasan Anak Kuale, Datuk Ramly Zahary selesai mendengar hasrat Mohd. Lutfe itu.


Lebih-lebih lagi kedatangan beliau dan rombongannya tidak dengan tangan kosong, Yayasan Anak Kuale sememangnya berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan sekolah pondok berkenaan.

Dalam kunjungan itu, termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak sekali gus mengikat tali persaudaraan Melayu Islam Nusantara.

Melalui MoU itu, Yayasan Anak Kuale akan menaja lima orang pelajar Pondok Ahmadiah Islamiah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), Kuala Kangsar, Perak sehingga tamat pengajian.

Menurut Ramly, selain sebagai sumbangan yayasan dalam memartabatkan Islam di Nusantara, usaha itu juga bagi membantu KUISAS untuk mendapatkan status universiti penuh kerana mengikut syarat, sekurang-kurangnya 30 peratus pelajar antarabangsa perlu mengikuti pengajian di kolej berkenaan.

JALIN UKHUWWAH MELAYU-ISLAM NUSANTARA

Selain Pondok Ahmadiah Islamiah, Yayasan Anak Kuale turut mengunjungi Pondok Darul Muhajirin yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Narathiwat.

Berbanding Pondok Ahmadiah Islamiah, Pondok Darul Muhajirin yang berusia satu setengah tahun berada dalam keadaan lebih daif. Malah, Yayasan Anak Kuale merupakan rombongan pertama yang mengunjungi sekolah pondok tersebut.

Tiada bangunan kelas, cuma terdapat 19 buah bilik yang berdinding dan beratapkan zink dengan setiap satunya berkeluasan kira-kira 9 meter persegi. Setiap bilik menempatkan tiga hingga empat pelajar untuk mereka berteduh.

Kesemua 70 pelajar hanya mengikuti pengajian di rumah mudir pondok tersebut, Hashim Yusof dengan dibantu dua lagi tenaga pengajar.

Kedatangan Yayasan Anak Kuale ke pondok tersebut sememangnya tepat pada waktunya kerana menurut Hashim, pihaknya memerlukan pertolongan dari segi dana untuk membesarkan lagi kawasan pondok berkenaan.

Mendengar luahan Hashim itu dan melihat sendiri kedaifan pondok tersebut, Ramly memberi jaminan akan cuba mendapatkan bantuan selain membawa lebih ramai pihak dari Malaysia untuk membantu pondok berkenaan.

Sebelum meninggalkan pondok tersebut, Yayasan Anak Kuale menghulurkan wang sumbangan dan kira-kira 30 buah al-Quran.

Rombongan diteruskan dengan mengunjungi Timbalan Mufti Thailand, Dr. Abdulrahman Daud di Majlis Agama Islam Wilayah Pattani yang terletak di Mueang, Pattani.

Dr. Abdulrahman yang juga Yang Dipertua majlis tersebut bukan calang-calang orangnya. Beliau dikurniakan Doktor Kehormat dari sebuah universiti di Florida, Amerika Syarikat di atas sumbangannya dalam memperjuangkan kedamaian antara orang Islam di selatan Thailand dan pihak kerajaan.

Pertemuan dengan tokoh itu sesungguhnya membuka mata rombongan Yayasan Anak Kuale bahawa orang Islam di Malaysia begitu bertuah kerana dapat menikmati hidup dalam keadaan aman dan makmur.

Diberi peluang berucap dalam pertemuan itu, Ramly menyifatkan orang Islam di selatan Thailand seperti berenang di air yang bergelora, bila-bila masa sahaja boleh lemas dan tenggelam, sebaliknya orang Islam di Malaysia, ibarat berenang di air yang tenang.

Sehubungan itu, beliau melahirkan kekaguman terhadap Abdulrahman yang sedikit sebanyak telah membawa kedamaian antara pihak kerajaan dan orang Islam di selatan Thailand.

Yayasan Anak Kuale mengakhiri lawatan di selatan Thailand dengan mengunjungi Hatyai bagi memberi peluang ahli-ahli rombongan membawa pulang buah tangan.

Dalam lawatan dua hari ke selatan Thailand itu, banyak perkara yang menginsafkan dapat dirasai sendiri oleh setiap ahli rombongan.

“Kita telah menempuh perjalanan menaiki bas selama 14 jam ke Narathiwat, begitu juga perjalanan pulang ke Kuala Kangsar, Perak.

“Namun dalam soal mencari ukhuwwah, barang kali beribu-ribu jam baru dapat bertemu. Insya-Allah, usaha Yayasan Anak Kuale untuk membantu orang Islam khususnya di Nusantara tidak akan terhenti setakat ini,” kata Ramly kepada penulis ketika dalam perjalanan pulang ke tanah air.

Sumber: Utusan