SIAPA sangka, hanya dengan sepotong ayat al-Quran dari surah Al-Maidah menjadi babak awal keislaman bekas paderi Britain, Idris Tawfiq. Ayat 82 dari surah itu telah membuatnya berfikir panjang mengapa ada pihak yang amat memusuhi Islam, sedangkan baginya, Islam adalah sangat baik dan bertolak-ansur.
Persoalan itu timbul lebih-lebih lagi pandangan negatif beliau terhadap Islam selama ini berubah sekembalinya dari bercuti di Mesir. Di Mesir, Idris dikatakan berpeluang mempelajari Islam dan melihat sikap lemah-lembut serta kesederhanaan umat Islam di negara itu sebelum mengkaji al-Quran.
Berkait dengan al-Quran juga, seorang wanita Kristian dari Amerika Syarikat memeluk Islam setelah “jatuh cinta” dengan surah An-Nur ayat 30-31 berkenaan memelihara pandangan mata (melihat aurat).
Wanita itu dikatakan kagum dengan ketakwaan seorang pemuda Muslim Maghribi yang teguh berpegang kepada nilai ayat dari surah berkenaan ketika mereka berdua di dalam sebuah lif.
Kisah berkenaan membuktikan bahawa penghayatan ajaran Islam dalam al-Quran boleh mengubah persepsi negatif orang bukan Islam terhadap agama suci tersebut.
Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, al-Quran adalah kitab hidayah dan penunjuk jalan kepada semua manusia, justeru wajib bagi setiap Muslim bertadabbur al-Quran bagi memperlihatkan keindahan Islam kepada bukan Islam.
Beliau mengakui, hasil bertadabbur (berfikir dan mengamati ayat-ayat al-Quran untuk memahami dan menangkap makna, hukum dan maksud dikehendaki) ayat 19 dan 85 dari surah al-Imran membawa perubahan besar dalam hidupnya apabila memeluk Islam.
“Islam sebagai addeen adalah agama sempurna, cukup nikmat dan diredai Allah SWT. Segala mengenai-Nya terkandung dalam al-Quran yang juga kitab panduan lengkap dengan peraturan dan undang-undang untuk kesejahteraan semua manusia dan alam sejagat di dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada Wacana Eksekutif: Keindahan Kebenaran Islam anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Dewan Syarahan Masjid Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ahli panel lain ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datin Dr. Azizan Baharuddin, manakala Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohamad selaku moderator wacana yang diadakan bersempena sambutan Jubli Emas Masjid Negara 50 Tahun.
Taufiq Yap yang juga Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak menolak kegagalan segelintir Muslim sendiri untuk meletakkan Islam di tempat sebenar berpunca daripada krisis akidah dan kefahaman yang melanda mereka pada masa kini.
“Segelintir mereka ini menganggap al-Quran susah untuk difahami. Anggapan ini akan menjauhkan kita dari matlamat al-Quran diturunkan sebagai kitab hidayah, justeru bagaimana seseorang yang tidak memahaminya akan mendapat hidayah?,” kata Tokoh Maal Hijrah 2012 Negeri Selangor itu.
Bagi Ahli Majlis Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) itu, konsep ketuhanan (tauhid) dalam Islam itu sangat jelas dan asli, tidak meletakkan sempadan hubungan manusia dengan Pencipta, pengampunan dosa, cara hidup praktikal dan seimbang, hukuman telus dan saksama, menekankan iman (wahyu) dan bukti (akal), pandangan hidup positif serta mesej (agama) yang melangkaui tempat dan masa.
Sementara itu, Azizan pula menampilkan bukti tentang hubungan agama dan sains seperti mana terkandung dalam al-Quran menerusi ayat-ayat al-Kauniyyah (menceritakan tentang keajaiban alam tabii teratur) menerusi surah al-Qamar ayat 49, surah al-Mulk ayat 3, surah Yaasiin ayat 40, surah al-Imran ayat 190-191 dan surah Faathir ayat 27-28.
“Tabii alam tidak mutlak, sebaliknya ditentukan Allah SWT. Manusia sebagai khalifah diberi kemampuan untuk memahami tabii alam secara terbatas. Hanya pemahaman (tadabbur al-Quran) manusia tentang alam memudahkan manusia mengurus alam,” katanya.
Beliau memperlihatkan kemusnahan dan kerosakan dilakukan manusia terhadap alam sekitar seperti banjir dan jerebu yang berpunca daripada kegagalan memahami peranan maqasid syariah termasuk menggunakan sains sebagai mekanisme memperjelaskan ijaz atau mukjizat al-Quran.
“Cabaran umat Islam hari ini ialah kebendaan, kerelatifan (nilai) dan krisis mengenal Allah SWT, justeru tadabbur al-Quran merupakan satu kemestian bagi membina tamadun dan mengembalikan fitrah diri serta membina akidah dan kekuatan dalaman,” katanya.
Azizan berkata, sains yang diikat dengan tauhid amat penting bagi menghalang kegilaan-kegilaan seperti mengubah baka, merubah jantina, melahirkan anak tanpa lelaki dan membangunkan kejuruteraan genetik atas nama kemajuan sains.
Sumber: Utusan