Isu Projek 1BestariNet Kembali Hangat, Abdul Ghapur Pertahan Muhyiddin


KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa tidak berdolak-dalik dalam isu kelemahan projek rangkaian internet jalur lebar 1BestariNet, demikian tegas seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) berkata sikap kerajaan yang seolah-olah mahu lepas tangan dengan menyalahkan bekas menteri pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu berkenaan amat dkesali.

"Timbalan menteri kata ada projek (1BestariNet) daripada mantan menteri pendidikan. Kita satu kerajaan, jangan cari mantan. Kementerian bukan mantan.

"Kalau begini, lain kali orang akan cakap mantan punya…mana ada mantan punya, mantan itu kerajaan punya, itu kerajaan punya," katanya ketika mengajukan soalan tambahan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan)
Terdahulu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari memberitahu Dewan Rakyat bahawa projek 1BestariNet yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications bukan dibawah tanggungjawab kementeriannya.

Sehubungan itu Johari yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu mengaitkan projek berkenaan dengan Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri.

"Kementerian ini iaitu di bawah program pelaksanaan jalur lebar tidak mengkhususkan mana-mana pemberi perkhidmatan untuk memberi perkhidmatan di suatu-suatu tempat, maknanya tidak ada elemen eksklusiviti.

"Sebenarnya program 1BestariNet bukan di bawah kementerian ini. Ia adalah projek seluruh negara yang diterajui oleh mantan menteri pendidikan yang dahulu di bawah Kementerian Pendidikan dimana projek itu dikhususkan kepada syarikat yang diberi nama YTL Communications," katanya.

Sebelum ini Persatuan Minda Sosial Prihatin (PMSP) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegagalan projek runding terus 1BestariNet bernilai RM663 juta yang diluluskan Muhyiddin. 

Sumber: mStar