iTTV Sediakan 2,200 Video Akademik Untuk Pelajar Sekolah


Putrajaya - Bermula kelmarin, perpustakaan video epembelajaran (eLearning) ditawarkan iTTV kini boleh diakses secara percuma menerusi laman YouTube dalam tempoh tiga ke enam bulan akan datang.

Kemudahan percuma itu ditawarkan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan iTTV Education Sdn Bhd di mana ia menyediakan lebih 2,200 video pembelajaran khusus buat murid tahun empat sehingga tingkatan lima.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerjasama itu penting memandangkan iTTV menghasilkan lebih 1,000 jam kandungan video yang boleh digunakan semua pelajar tahun empat hingga tingkatan lima sejak 2009.

Beliau berkata, iTTV merangkumi semua mata pelajaran utama Sains seperti Biologi, Fizik, Kimia dan Sains selain akses lengkap bagi mata pelajaran teras seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains untuk pelajar tahun empat hingga tingkatan tiga.

“Antara kelebihan iTTV ialah penyampaian yang jelas kerana tenaga pengajarnya berkualiti, malah pelajar juga boleh menonton video seberapa banyak kali yang mahu selain kesaksamaan pembelajaran untuk semua pelajar di seluruh negara.

“Ada ibu bapa mengadu di kawasan pedalaman misalnya wujud masalah kekurangan guru. Namun dengan adanya iTTV, semua pelajar akan mendapat pelajaran yang sama daripada guru yang sama di mana-mana saja mereka berada, malah iTTV juga menghasilkan program mengikut sukatan pelajaran KPM,” katanya menerusi teks yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Datuk Wan Khazanah Ismail pada Majlis Pelancaran Kolaborasi antara Kementerian Pendidikan dan iTTV, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif iTTV Boon Tan dan Pengarah Eksekutif iTTV Education Datuk Abdul Aziz Abu Bakar.

Katanya, kerjasama itu penting kerana ia bersesuaian dengan musim peperiksaan pelajar sekolah di seluruh negara yang bermula pada bulan ini dan November depan.

Mahdzir berkata, sebelum ini, pelanggan iTTV perlu membayar RM200 hingga RM400 seorang setahun jika mereka mendaftar dengan talian iTTV.

“Inisiatif iTTV hadir tepat pada masanya di mana kerjasama itu berlaku tanpa apa-apa kontrak kerajaan. Malah, iTTV mengambil risiko melabur untuk menerbitkan 1,000 jam kandungan akademik.


“Saya rasa jika lebih banyak sektor swasta boleh melakukan perkara sama untuk menyokong kerajaan, maka saya pasti kerja kementerian akan lebih mudah pada masa hadapan,” katanya.

Saluran iTTV YouTube boleh diakses menerusi laman https://www.youtube.com /user/iBoxXIPTV di mana pelajar hanya perlu memilih ‘playlist’ dan pilih ‘level’ yang sesuai menonton bahan akademik yang disediakan.


Sumber: myMetro