Jabatan Kemajuan Orang Asli Nafi Lepas Tangan Insiden Murid Hilang


JABATAN Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menafikan perkhabaran mengatakan pihak mereka tidak memberikan sebarang tumpuan penuh dalam proses pencarian tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang, Kelantan yang dilaporkan hilang sejak 23 Ogos lalu.

JAKOA menafikan dakwaan yang dibuat aktivis dan peguam Siti Zabedah Kasim yang mengatakan tiada mana-mana pihak yang bertanggungjawab mengambil peduli kebajikan keluarga mangsa.

Menurut Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Hasnan Hassan, antara tindakan segera yang diambil sebaik sahaja menerima laporan kehilangan mereka adalah dengan membentuk pasukan sukarelawan Orang Asli dan pasukan RELA Orang Asli seramai 190 orang yang diketuai Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu.

“Tiga pegawai JAKOA turut membantu menguruskan hal-hal kebajikan dan pentadbiran di lokasi. Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu sering turun di lokasi bagi memastikan kebajikan keluarga dalam pelbagai aspek khususnya khidmat kaunseling,” katanya memetik sumber Astro Awani.

Mengimbas kembali kehilangan tujuh pelajar itu pada 23 Ogos lalu, mereka dipercayai melarikan diri ke hutan berdekatan kerana takut dimarahi selepas mandi di sungai berhampiran tanpa kebenaran.

Mereka terdiri daripada Mirsudiar Aluj, 11, Norieen, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina Daud, 7.

Daripada tujuh, dua daripada mereka, hanya Mirsudiar dan Norieen ditemui selamat namun mereka berada dalam keadaan yang sangat lemah dan kurus-kering ketika ditemui pihak penyelamat.

Setakat ini, pihak berkuasa sudah mengesahkan tiga rangka ditemui dipercayai milik Ika, Sasa dan Juvina.

Proses pencarian dua mangsa iaitu Haikal dan Linda kini masih diteruskan dan dipergiatkan oleh pihak berkuasa. -Kedahnews.com