Jabatan Kesihatan Kedah Sasar Kumpul 55,210 Pain Darah Tahun Ini

Gambar Hiasan
SUNGAI PETANI - Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menyasarkan pengumpulan darah tahun ini meningkat kepada 55,210 pain darah, berbanding 53,592 pain darah pada tahun lepas. 

Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pada 2013 pihaknya mengumpul 51,332 pain darah bagi menampung keperluan di seluruh negeri.

"Kami gunakan semua platform yang ada, bahkan hampir setiap minggu kami adakan program untuk menarik penderma baharu. Jika kami menerima 60 peratas penderma berulang, jumlah kutipan darah akan stabil," katanya semalam.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kempen Derma Darah Perdana anjuran bersama Persatuan Penderma Darah negeri Kedah dan VIP Board Sdn Bhd di sini.

Mengenai pembinaan Hospital Pendang dalam Bajet 2015 baru-baru ini, katanya, ia amat dinantikan penduduk daerah itu yang ketika ini, tertumpu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pihaknya mencadangkan supaya hospital baharu itu mempunyai sekurang-kurangnya 220 katil dan barisan doktor pakar dalam 10 bidang perubatan berlainan.

Antara bidang kepakaran itu termasuk perubatan am, kanak-kanak, sakit puan, ortopedik, patologi dan kecemasan, kata Norhizan. - Bernama