Gambar Hiasan - Pembenihan awan |
KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi menafikan mereka menggunakan bahan kimia yang lebih kuat dalam melakukan pembenihan awan ketika jerebu sekarang sehingga boleh menyebabkan hujan yang memberi kesan negatif kepada manusia.
“Kami tidak pernah menggunakan bahan kimia yang lebih kuat. Sebaliknya kami hanya menggunakan garam biasa yang tidak akan memberi sebarang kesan kepada manusia,” kata Ketua Pengarah jabatan tersebut Datuk Che Gayah Ismail kepada Bernama.
Mesej penggunaan bahan kimia disebarkan dalam bahasa Inggeris melalui aplikasi WhatsApp pada Isnin yang antara lain berbunyi: “Kawan-kawan dari TUDM memberi amaran mereka menggunakan bahan kimia yang lebih kuat untuk membuat hujan. Ini mungkin boleh menjejaskan kulit kita. Jadi tolong jangan berada di dalam hujan untuk beberapa hari ini dan jika terkena, bilas segera.”
Che Gayah meminta orang ramai tidak mempercayai maklumat palsu itu dan jangan menyebarkannya.
“Hujan asid hanya berlaku apabila bahan ‘pencemar’ yang terkandung dalam jerebu bertindak balas secara kimia dengan air hujan,” katanya.
Sementara itu beliau berkata pembenihan awan kali ini akan difokuskan kepada Lembah Klang memandangkan kualiti udara di kawasan itu masih pada tahap tidak sihat.
Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan, Maznorizan Mohamad berkata pihak mereka sedang bersiap sedia untuk melakukan pembenihan awan. – BERNAMA