Keadaan jalan didakwa membimbangkan penduduk. |
KUALA KEDAH - Walaupun sudah dibaiki lebih setahun lalu, namun jalan ke Kampung Kubang Panggar, Kubang Rotan, di sini kembali rosak berikutan ia kerap menjadi laluan kenderaan berat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubang Panggas, Hashim Taib berkata, penduduk bimbang berikutan jalan hampir tiga kilometer itu mula berlopak.
"Sebelum ini jalan itu sudah pun dibaiki pihak berwajib lebih setahun lepas tapi rosak semula sebab menjadi laluan kenderaan berat.
"Padahal kenderaan berat perlu menggunakan laluan ladang yang terletak bersebelahan jalan utama kampung untuk membawa barangan mereka, bukan di jalan ini," katanya.
Disebabkan itu katanya, tahap kerosakan laluan didakwa makin serius berbanding beberapa tahun lalu memandangkan kini wujud lebih banyak lubang bersaiz besar.
Setiausahanya, Mat Zuki Dris berkata, penduduk setempat berdepan kesulitan terutamanya jalan yang licin ketika melalui laluan berkenaan.
Menurutnya, kesukaran penduduk dialami paling ketara terutamanya apabila hujan apabila laluan berlecah sehingga memberi kesan kepada mereka.
"Kami bukan saja terdedah dengan risiko kemalangan, malah kenderaan juga kerap rosak apabila melalui jalan ini.
"Lebih 1,000 penduduk termasuklah pengguna berdekatan seperti Keluncur, Kampung Lemping dan Tanjung Besi didakwa berdepan masalah ini," katanya.
Sementara itu penduduk, Saidi Md Nayan berkata, penduduk merayu dan mencadangkan pihak berkenaan menurap laluan menggunakan batu bagi membolehkan penduduk keluar masuk lebih selesa.
"Kalau boleh, kami mahu mereka letakkan batu dari tanah merah kerana tanah merah dilihat tak mampu menyelesaikan masalah tersebut.
"Kami harap mana-mana pihak bertanggungjawab turun padang melihat masalah kerosakan laluan yang dialami di sini," katanya.
Sumber: Sinar Harian