Jangan Pertikai Penggunaan SOSMA Di Malaysia - Rais Yatim

Penasihat Sosiobudaya kerajaaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim
KUALA LUMPUR – Jangan pertikai penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) SOSMA 2012, kata Penasihat Sosiobudaya kerajaaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata SOSMA 2012 diwujudkan sebagai langkah pencegahan demi keselamatan negara dan ia adalah hak mutlak peguam negara untuk melakukan pendakwaan kepada mereka yang disyaki melakukan kesalahan di bawah akta tersebut.

“Pada tahun 1970-an dan 1980-an dulu, ada kes disiasat di bawah akta yang sama seperti SOSMA, iaitu Peraturan-peraturan Perlu Kes-kes Keselamatan (Pindaan) 1975 (ESCAR).

“Kes bunuh membabitkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim, adalah antara kes yang disiasat di bawah ESCAR dahulu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bas Yayasan Warisan Negara untuk kegunaan pelukis Ismail Embung di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam beliau, Matthias Chang, mengikut SOSMA merupakan penyalahgunaan serta tidak menghormati undang-undang.

Rais berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang demokratik dan semua mempunyai hak untuk memberikan pendapat ‘demi kesejahteraan negara dan intergriti sistem politik’.

Kerajaan juga mempunyai hak untuk menjawab sebarang soalan yang dikemukakan serta dakwaan terhadapnya.

“Saya akan mencadangkan agar kerajaan menjawab semua isu secara sistematik dan paling penting mengeluarkan kenyataan rasmi dengan maklumat terperinci dengan cepat untuk menjelaskan sebarang isu tanpa melibatkan banyak pihak yang boleh memburukkan lagi keadaan,” kata Rais.

Mengenai Bas Yayasan Warisan Negara itu, beliau berkata ia akan digunakan untuk mempromosi lukisan Ismail ke seluruh negara.

“Ismail pernah menjadi ‘pelukis tamu’ di Balai Seni Visual Negara, karyanya banyak berkisar kepada pemimpin negara dan sejarah ketamadunan Melayu, sumbangannya dalam seni lukisan sangat bernilai kepada negara,” tambahnya. – BERNAMA